PENYERANG baharu Kedah Darul Aman FC, Ifedayo Olusegun bukanlah nama yang asing dalam lanskap bola sepak tempatan apabila pernah bergelar penjaring terbanyak Liga Super sebanyak dua ketika menyarung jersi Selangor FC pada 2020 dan 2021.

Selepas berjaya mencipta nama bersama Selangor, pemain kelahiran Nigeria itu meneruskan aksi cemerlang bersama Melaka United FC dengan tujuh gol dari 12 perlawanan sekaligus bergelar antara penyerang prolifik Liga Malaysia.

Kini dia kembali ke Malaysia untuk bersama Kedah dan dia tidak menunggu lama untuk meledak jaringan apabila berjaya menyempurnakan penalti untuk gol membuka akaun jaringannya bersama skuad Sang Kenari.

Stadium MBPJ Kelana Jaya

Namun apa yang menarik, dia melakukan kemunculan semulanya di Stadium MBPJ, Kelana Jaya tempat dimana dia mencipta jaringan demi jaringan ketika bersama Selangor selepas berpindah dari Stadium Shah Alam.

“Saya ‘familiar‘ dengan kawasan ini dan juga sudah biasa dengan padang di stadium ini. Ia membantu saya menyesuaikan diri dengan lebih cepat meskipun sukar pada awalnya namun saya sudah menganggap stadium ini sebagai rumah saya,” katanya ketika menjawab soalan FLASH SUKAN.

Ifedayo juga sudah tidak sabar untuk beraksi di Alor Star kerana dia sedia maklum mengenai tahap sokongan penyokong Kedah kepada pasukan dan tidak mahu menganggapnya sebagai tekanan.

Ifedayo membuka akaun jaringannya bersama Kedah Darul Aman FC

“Kemenangan di Petaling Jaya ini sudah pasti akan meningkatkan lagi keterujaan penyokong kami di tempat sendiri. Sebagai pemain, saya perlu mengawal tekanan dan memberikan aksi terbaik buat para penyokong yang sentiasa berada di belakang kami,” tambahnya.

Pemain berusia 32 tahun itu juga sudah tidak sabar untuk memulakan revolusi bola sepak Kedah kerana menurutnya pengurusan Kedah mempunyai visi dan misi yang jelas untuk membina kembali pasukan menjadi pencabar kejuaraan.

Ifedayo bakal melakukan debutnya di Stadium Darul Aman pada Jumaat apabila Kedah bertemu Kelantan United dan kehadirannya sudah pasti akan dinantikan oleh penyokong Hijau Kuning yang dijangka akan membanjiri stadium.