STATUS sama ada Stadium Perak, di Ipoh, boleh digunakan untuk saingan Liga Malaysia, hanya akan diketahui esok.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, setakat ini pihaknya belum dapat mengesahkan bahawa Perak FC boleh menggunakan stadium itu pada waktu malam atau sebaliknya, bagi menghadapi Kedah Darul Aman FC (KDA), 26 Februari nanti.
“Berkenaan Stadium Perak, saya sudah bincangkan mengenai isu kecurian kabel dan komponen lampu limpah Stadium Perak. Saya sudah berhubung dengan CEO Bobie (Farid Shamsudin) tentang isu yang tular dan betul ada kes kecurian kabel tetapi hanya melibatkan satu tiang lampu sahaja.
“Sekarang proses baik pulih sedang giat dijalankan dan ada kemungkinan perlawanan akan berlangsung mengikut jadual. Tiada siapa yang minta perkara ini berlaku dan kita akan pastikan perlawanan pertama ini akan berlangsung seperti yang dijadualkan,” kata Stuart, selepas majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan Liga Malaysia (Liga M) antara Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan Al Rajhi Bank yang dilantik sebagai Rakan Bank Digital Rasmi liga 2023.
Begitupun, Stuart berkata, pihaknya juga menyediakan pelan sokongan: “Kita ada beberapa cadangan lain (sekiranya proses baik pulih lambat) namun, saya tidak boleh buat sebarang spekulasi. Keutamaan kita adalah pastikan perlawanan ikut jadual,” katanya.
Sabtu ini, Liga Malaysia akan membuka tirai dengan aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC, manakala saingan liga bermula 26 Februari depan.
Sementara itu, Terengganu FC juga belum mendapat pelepasan untuk menggunakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai venue tuan rumah.
Hal ini timbul kerana sehingga kini MFL belum menerima surat daripada pihak ketiga yang perlu dihantar oleh Terengganu FC untuk membolehkan stadium berkenaan digunakan bagi aksi Liga M.
Stuart berkata, pihaknya optimis perkara itu dapat diselesaikan oleh Terengganu FC sebelum stadium berkenaan boleh digunakan sebelum aksi pasukan itu, yang dijadualkan menjadi tuan rumah pada perlawanan ketiga liga.
“Kita ada sehari dua lagi dan saya juga sudah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif mereka dan saya percaya dia akan dihantar. Ia melibatkan surat daripada pihak ketiga yang diperlukan dari Terengganu FC, di peringkat kelab tiada apa-apa masalah.
“Terengganu juga akan bermain di tempat lawan dua perlawanan pertama. Jadi, saya rasa tiada masalah dan masih ada masa untuk Terengganu FC untuk hantar surat berkenaan,” katanya sambil merujuk pihak ketiga sebagai kerajaan negeri Terengganu.
Ketika ditanya butiran surat pihak ketiga itu dan adakah ia berkaitan dengan Sijil Layak Menduduki (CF), Stuart enggan mengulas lanjut dan memilih untuk memberi peluang kepada Terengganu FC untuk menjawab tentang butiran surat berkenaan.
Terdahulu, berlangsung Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan antara Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) dengan MFL, di pejabat Al Rajhi, Menara Hup Seng, di sini.
Ini adalah kerjasama sulung Al Rajhi Bank Malaysia dalam penajaan liga bola sepak utama negara yang membabitkan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Cabaran MFL, Piala MFL dan Piala Sumbangsih.