STADIUM Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bakal kembali ‘bercahaya’ pertengahan Jun ini selepas kerja-kerja menaiktaraf siap sepenuhnya pada 10 Jun ini.
Apa yang menariknya, kemunculan Stadium Selayang dengan berwajah baharu ini bukan sahaja tertumpu kepada ‘pemulihan’ padang semata-mata sebaliknya dapat dilihat kesemua fasiliti dalam stadium dinaik taraf.
Menurut Yang Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Datuk Mohd Yazid Sairi, kerja-kerja menaiktaraf melibatkan lampu limpah dari segi keterangan (LUX (lx) di sekeliling stadium supaya menepati keperluan yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memastikan perlawanan bola sepak pada waktu malam boleh diadakan.
“Untuk lampu limpah, MPS telah membelanjakan sebanyak RM7.4 juta dan proses telah pun selesai dengan keupayaan keterangan lampu limpah boleh mencapai 2400 (lx).
“MPS turut menaiktaraf litar balapan yang kini di proses akhir akan siap sepenuhnya pada 10 Jun 2023. Kos menaiktaraf litar balapan ini telah memakan belanja sebanyak RM900 ribu.
“MPS juga turut menaiktaraf Scoreboard sebelum ini kepada LED Billboard yang mempunyai fungsi boleh pusing (Rotating LED Billboard) selain digunakan untuk memaparkan mata perlawanan, ianya akan digunakan untuk menyiarkan iklan-iklan atau sebarang informasi ketika tidak digunakan dengan memanfaatkan fungsi boleh pusing LED tersebut.
“Kos menaiktaraf scoreboard ini telah memakan belanja sebanyak RM1.6 juta,” jelasnya selepas sesi lawatan ke stadium bersama Ahli-ahli Majlis MPS, Rabu.
Selain itu, fasiliti dalaman di Stadium MPS melibatkan beberapa bahagian.
“MPS juga menaiktaraf fasiliti dalaman stadium melibatkan ruang persalinan, ruang VIP, surau, tandas dan kemudahan lain.
“Kos keseluruhan RM10 juta yang dibelanjakan oleh MPS ini merupakan perbelanjaan terbesar untuk memastikan Stadium Selayang ini menjamin keselesaan pengguna,” tambahnya.
Dalam pada itu Mohd Yazid memberitahu, biarpun belum rasmi dibuka kepada awam, MPS sudah menerima tempahan untuk menggunakan stadium bagi acara bola sepak.
“Untuk penggunaan pertama selepas naiktaraf ini, Pihak MPS telah menerima permohonan daripada Majlis Sukan India Malaysia (MSIM) untuk Stadium Majlis Perbandaran Selayang menjadi lokasi perlawanan Akhir Piala Bardhan 2023 pada 10 Jun 2023 bermula jam 6 petang hingga 11 malam melibatkan Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
“Fokus kami, kegunaan Stadium Majlis Perbandaran Selayang adalah dibuka kepada orang awam dan juga perlawanan bola sepak peringkat amatur dan juga profesional.
“Kemudahan padang bukan hanya untuk perlawanan bola sepak tetapi pada masa yang sama orang awam boleh menggunakan fasiliti-fasiliti lain seperti balapan untuk aktiviti joging dan sebagainya.
“Dalam masa yang sama, MPS juga akan memantau juga kesesuaian permohonan untuk memastikan fasiliti stadium ini terjaga dan di tahap yang terbaik ,” ujarnya.
Biarpun dilihat secara keseluruhan Stadium MPS kini lebih ‘bersemangat’ dengan fasiliti-fasiliti yang baharu, namun Mohd Yazid memberitahu beberapa lagi kerj-kerja menaik taraf juga akan dilakukan di luar stadium.
“Di masa hadapan, MPS akan memberi fokus untuk menaiktaraf kawasan luar stadium MPS untuk memastikan bahagian luar stadium lebih menarik dan vibrant.
“Secara keseluruhan saya yakin Stadium MPS ini akan terus kekal menjadi mercu tanda di perbandaran Selayang selain menjadi lokasi utama untuk aktiviti sukan terutama sukan bola sepak,” ujar Mohd Yazid.