EMPAT stadium telah dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dipertimbangkan sebagai gelanggang sementara Harimau Malaya ketika Stadium Nasional Bukit Jalil diubahsuai bemula Mac 2023 ini.

Selain gelanggang rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, tiga lagi stadium yang dipilih adalah Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Stadium Hang Jebat, Melaka dan Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang.

Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman yang ditemui selepas Majlis Pelancaran Barangan Rasmi MPFL 2023 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.

Noor Azman ketika menjawab soalan daripada media

Azman juga menjelaskan FAM kini dalam proses untuk memilih dua pasukan bagi menjadi lawan Harimau Malaya pada kalendar antarabangsa pertama 2023 pada Mac.

“Untuk perlawanan persahabatan pada bulan tiga, kita masih dalam proses untuk memilih pasukan dan venue dan perkara ini akan dibawa masuk ke mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan dan akan diumumkan pada awal Mac.

“Kita juga telah mengenalpasti empat venue untuk dijadikan rumah sementara Harimau Malaya iaitu Johor, Terengganu, Pulau Pinang serta Melaka dan ianya akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa akan datang,” katanya.

Stadium Nasional Bukit Jalil bakal dinaik taraf bermula Mac.

Kesemua stadium yang dipilih ini dilihat mempunyai kapasiti yang sesuai untuk menampung jumlah penyokong Malaysia dengan Stadium Sultan Ibrahim mempunyai 35,000 tempat duduk manakala Stadium Sultan Mizan pula boleh menampung 50,000 penyokong.

Stadium Negeri Batu Kawan dan Stadium Hang Jebat juga dilihat sesuai dengan kedua-duanya mempunyai kapasiti 40,000 tempat duduk dengan keadaan padang yang boleh dikatakan baik.

Kalendar Fifa Mac 2023 akan berlangsung dari 20 hingga 28 Mac dengan dua perlawanan bakal dilalui Harimau Malaya sebagai antara persiapan Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon untuk menghadapi Piala Asia yang dijadualkan pada Januari 2024.