KUNJUNGAN sekumpulan penyokong Ulsan Hyundai yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk melihat aksi keempat saingan Liga Juara-juara AFC (ACL), Selasa lalu telah memberi impak positif serta dorongan terhadap pembangunan stadium itu.
Hal ini kerana, penyokong Ulsan tersebut meluahkan keterujaannya kepada FLASH SUKAN ketika pertama kali bertandang ke SSI sekali gus memuji keunggulan dan kecantikan stadium yang kelihatan seperti mahkota ‘crown’ ini.
Pendapat yang dizahirkan oleh penyokong Korea ini turut dipersetujui ketua jurulatih kebangsaan Korea Selatan, Jurgen Klinsmann yang juga tertarik dengan keindahan SSI ketika hadir menyaksikan perlawanan antara Harimau Selatan dan Ulsan Hyundai.
“Wow, saya sangat kagum dengan stadium ini kerana sangat moden dan telah menarik perhatian saya.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati datang dari Korea ke sini (SSI) kerana dapat menyaksikan sendiri kecantikkan stadium milik pasukan pihak lawan ini (JDT).
“Saya hadir bersama beberapa lagi kawan saya dan mengharapkan aksi yang terbaik oleh Ulsan malam ini, jika boleh menang 2-0 dengan JDT,” ujar salah seorang penyokong ketika lintas langsung di Facebook FLASH SUKAN semasa hari perlawanan.
Walaupun datang dengan harapan yang tinggi untuk melihat kejayaan pasukannya, malangnya impian penyokong itu tidak kesampaian apabila kemenangan berpihak kepada JDT dengan keputusan 2-1.
Bagaimanapun, mungkin kekecewaan yang menimpa penyokong-penyokong dari Korea Selatan itu serba sedikit terubat apabila disajikan dengan pemandangan indah di SSI sejurus keadaan cuaca yang baik selepas hujan.