KEHADIRAN seorang penjaga gol baharu Kuala Lumpur (KL) City FC, Hafizul Hakim telah menarik perhatian peminat bola sepak tempatan khususnya penyokong KL City sendiri.
Bekas penjaga gawang kebangsaan itu turut melahirkan rasa gembira setelah dapat kembali ke pasukan Liga Super, KL City FC menjelang saingan bola sepak musim 2024-2025 yang akan berlangsung.
FLASH SUKAN bagaimanapun telah menerima perkongsian daripada Hafizul sendiri tentang pilihannya untuk bersama dengan skuad The City Boys, skuad yang kita tahu sedang terpalit dengan masalah tunggakan bayaran gaji pemain.
Menurut pemain berusia 31 tahun itu, Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard merupakan tulang belakang utama dalam proses perpindahannya dari Harini FT ke pasukan sensasi Liga Super tersebut.
Perancangan KL City untuk menstabilkan semula kewangan mereka dan situasi terkini pasukan tersebut telah diberi maklum kepada Hafizul, sekali gus membuatkan dia lebih yakin selepas melihat usaha yang dipamerkan oleh Stanley.
“Sebenarnya, sejak awal bulan Februari lalu saya sudah dihubungi dan diberitahu tentang posisi yang mahu dilengkapkan oleh pasukan tersebut.
“Saya juga memang sudah sedia maklum tentang isu yang melanda KL City sebelum saya tandatangan kontrak bersama mereka.
“Sebelum saya mengambil keputusan untuk menerima posisi tersebut, saya berasa lebih terjamin apabila mendengar sendiri luahan serta perancangan yang dikemukakan oleh Stanley. Jadi, Insya Allah perkara sedemikian tidak akan berulang kembali,” ujar Hafizul kepada FLASH SUKAN.
Nama Hafizul masih tidak asing lagi dalam arena bola sepak tempatan mahu pun kebangsaan setelah sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan Penang FC, Perak FC dan beberapa pasukan tempatan lain sebelum turun ke Liga M3 bersama Harini FT.
Dia juga pernah menggalas cabaran besar dalam menjadi penjaga gol kebangsaan pada tahun 2017 hingga 2018.