STATUS pemain import Terengganu FC (TFC), Argzim Redzovic, Luke Woodland dan Jordan Mintah bersama pasukan itu musim depan tetap 50-50 meskipun masih berbaki kontrak setahun.

Dengan hanya beraksi untuk TFC II dalam Liga Premier musim ini, nasib tiga pemain terbabit untuk kekal nampak tipis masing-masinh bergelut dengan masalah prestasi dan kecergasan.

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner mengakui belum membuat keputusan mengenai masa depan tiga pemain itu sama ada dapat memikat hatinya untuk berada dalam skuad.

Menurut Steinbruckner, fokus utama kini adalah mencari pengganti kepada Pape Diakite, Manuel Ott, Petrus Shitembi, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche yang tidak lagi bersama TFC.

“Itu adalah tugas pertama sebaik saya dilantik ketua jurulatih yang baharu kerana TFC kehilangan majoriti tonggak import serta tempatan termasuk Faisal Abdul Halim.

“Woodland, Redzovic dan Mintah masih terikat kontrak dan saya akan lihat situasi itu. Namun sebagai ketua jurulatih, saya mahu pemain yang sesuai dengan gaya bola sepak kami.

Tomislav Steinbruckner

“Jika mendapatkan penyerang baharu, situasi pasti sukar buat Mintah. Belum pasti lagi sama ada dia akan kekal, dipinjamkan atau ditamatkan kontrak,” katanya kepada Flash Sukan.

Setakat ini hanya pemain tengah Bahrain, Habib Haroon disahkan kekal selain kehadiran bekas tonggak Melaka United, Sony Norde bagi memperkuatkan jentera serangan TFC.

Julai lalu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan format baharu Liga Super 2023 dengan membenarkan sehingga sembilan pemain import melibatkan semua pasukan bertanding.

Namun peraturan pemain import di tengah padang masih kekal dengan lima pemain termasuk seorang Asia dan seorang Asean manakala seorang lagi di bangku simpanan.

“Dengan penstrukturan semula Liga Super, akan ada pertambahan pasukan dan jumlah perlawanan. Piala AFC pula bermula September dan ditambah Piala FA serta Piala Malaysia.

“Kami memerlukan skuad yang betul-betul bersedia menghadapi musim 2023 dan tugas pertama saya adalah mendapatkan pemain baharu yang lebih baik,” tegas Steinbruckner.