STATUS kemasukan atlet berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri ke dalam program Fast Track di bawah inisiatif Road to Gold (RTG) akan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Program Road to Gold, selepas dirinya layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Satu mesyuarat di antara Jawatankuasa RTG akan diadakan dalam masa terdekat dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa segala keputusan mengenai program berkenaan akan diputuskan dalam mesyuarat tersebut.

Namun, bagi Hannah Yeoh yang merupakan pengerusi bersama program RTG, beliau sentiasa mengalu-alukan atlet yang berpotensi memperoleh pingat emas di Sukan Olimpik untuk disenaraikan ke dalam program Fast Track tersebut.

“Setakat ini kita ada skuasy dan terjun di dalam program Fast Track dan kita akan mengadakan mesyuarat untuk mempertimbangkan, melihat kriteria-kriteria kerana jawatankuasa RTG ini bukan menteri sahaja yang pengurusikan, ia ada juga co-chair dengan Tan Sri Norza dan jawatankuasa tersebut akan membuat keputusan.

“Untuk saya, hasrat saya adalah untuk membawa sebanyak mungkin atlet masuk (ke RTG) kerana kita mahu lebih ramai atlet berpotensi untuk bawa balik pingat emas. Dia bukan kelab eksklusif, sesiapa yang ada potensi dan kita akan lihat,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) di sini hari ini.

Kejayaan cemerlang Nurul Izzah yang berjaya menempatkan diri ke Temasya Olimpik Paris 2024 telah mendapat perhatian daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang mahu Nurul Izzah disenaraikan dalam program Fast Track di bawah inisiatif RTG.

Pemangku Timbalan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata inisiatif terbaik itu akan menjadi batu pelonjak untuk Nurul Izzah dan mungkin pelumba lain dapat mencabar atlet-atlet berbasikal dunia pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).