STATUS penyertaan Selangor FC ke saingan Liga Juara-Juara Asia 2024/2025 masih selamat dan tidak tergugat.
Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John berkata, status penyertaan Selangor dalam ACL2 masih lagi selamat walaupun akan berdepan hukuman daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
“Buat masa ini untuk kita, dua wakil Malaysia ke kejohanan kelab AFC ialah JDT dan Selangor.
“Tetapi harus diingat, apa saja keputusan yang harus dibuat (MFL), daripada pengalaman kita di AFC, hanya diguna pakai dalam liga domestik.
“Sama ada pemotongan markah, denda atau apa saja (hukuman) yang dibuat (pengendali liga), itu hanya dibuat untuk liga tempatan,” katanya dalam sesi temubual bersama Astro Arena.
Sebelum ini, terdapat khabar angin mengatakan bahawa penyertaan The Red Giants dalam ACL2 akan tergugat.
Ini disebabkan Selangor menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih atas faktor keselamatan.
Susulan itu, secara automatik Johor Darul Ta’zim diisytihar sebagai juara Piala Sumbangsih dan meraih kemenangan percuma 3-0 serta pasukan Merah Kuning berpotensi akan menerima hukuman daripada MFL atas tindakan menarik diri.