PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, berbangga dengan pemilihan empat pemainnya ke kem latihan pusat skuad negara menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula esok.

Menurut jurulatih kelahiran Croatia itu, empat pemain berkenaan, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Safwan Mazlan dan Engku Nur Shakir Engku Yaacob sememangnya layak menyarung jersi Harimau Malaya.

Steinbruckner berkata, beliau berbangga terutama dengan Engku Nur Shakir yang sebelum ini hanya tersenarai dalam senarai bersedia dan mahu melihat pemain itu membuktikan kemampuannya.

Aksi Steinbruckner ketika mengemudi pasukanya bertemu KDN FC.

“Sejak tahun lalu lagi, barisan kejurulatihan skuad kebangsaan menghubungi saya bertanyakan tentang Engku Nur Shakir dan kami sangat gembira kali ini dia terpilih dalam senarai 26 pemain.

“Safwan pula sudah diketahui kualitinya kerana sering membarisi pasukan bawah 23 tahun (B-23) manakala Safawi dan Akhyar juga masih layak untuk menyertai kem latihan pasukan Malaysia.

“Kini terpulang kepada pemain itu sendiri untuk membuktikan kemampuan kepada ketua jurulatih (Kim Pan-gon) dan merebut tempat dalam kesebelasan utama,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Safawi terus mendapat kepercayaan Kim Pan-gon untuk berada dalam skuad Harimau Malaya.

Selain pemain berkenaan, TFC turut diwakili empat lagi yang berada dalam senarai bersedia iaitu penjaga gol, Mohd. Suhaimi Husin, Shahrul Nizam Roshasni, Ubaidullah Shamsul Fazili dan Norhakim Hassan.

Skuad Harimau Malaya akan memulakan kem latihan pusat bermula esok bagi persiapan dua baki perlawanan Kumpulan D menentang Krygyzstan pada 6 Jun dan Taiwan pada 11 Jun.