FOTO : TFC
PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, mengakui sudah memiliki bayangan kesebelasan utama bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) 2024/25.
Menurut jurulatih kelahiran Croatia itu, kehadiran beberapa awang import baharu terutama di bahagian tengah memberi kelegaan buatnya untuk membentuk barisan paling ampuh.
Steinbruckner berkata, kelibat Marin Pilj, Manuel Ott dan Nurillo Tukhtasinov bakal menjadi ‘nyawa’ skuad Penyu sambil dibantu Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Ivan Mamut dan Ismaheel Akinade di posisi hadapan.
“Manny (Ott) pemain yang sudah ‘masak’ dengan corak permainan TFC dan kami saling mengenali manakala Marin pula pemain yang bagus meskipun mereka bertubuh kecil.
“Masih terlalu awal menilai keserasian mereka tetapi saya juga gembira melihat persembahan Akinade dalam sesi latihan kerana memiliki kepantasan serta penyudah yang tajam.
“Saya akan menguji semua pemain dalam tiga aksi persahabatan yang diatur di ibu negara bermula minggu depan,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN, malam tadi.
Skuad Penyu dijadualkan akan menguji kekuatan dengan Selangor 2 pada 31 Mac disusuli pertemuan menentang PDRM (2 April) dan Negeri Sembilan pada 4 April sebelum Aidilfitri.
Steinbruckner menjelaskan, aksi persahabatan itu penting untuk menguji tahap kecergasan dan persefahaman pemain menjelang musim baru Liga M yang bermula Mei.
Selain itu, Steinbruckner berkata, TFC turut akan menentang Kedah, Pulau Pinang dan pasukan ‘adik’, TFC II, dalam kejohanan empat penjuru di laman sendiri pada 17, 19 dan 21 April depan.
ARTIKEL BERKAITAN : Terengganu FC atur aksi pemanas badan di Lembah Klang