PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner gembira apabila pemain pertahanan muda, Azam Azmi Murad kekal di Terengganu untuk musim Liga Malaysia 2024-25 meskipun mungkin berstatus sebagai pemain pinjaman.

Difahamkan, pertahanan berusia 22 tahun ini akan menandatangani kontrak bersama juara 10 kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim namun akan dipinjamkan semula ke Terengganu bagi musim hadapan.

Meskipun perkara ini masih belum disahkan oleh Harimau Selatan, namun bagi Tomislav, dia gembira kerana pemain yang baik dan berkualiti seperti Azam berada dalam pasukannya.

“Setiap pemain yang bagus pastinya dialu-alukan dalam pasukan ini terutama pemain seperti Azam. Dia adalah pemain yang bagus dan mendapat tempat dalam skuad kebangsaan hasil prestasinya yang cemerlang di peringkat kelab dalam beberapa musim ini,” katanya.

Sejak menyertai Terengganu pada 2020 yang juga pasukan pertamanya dalam Liga Malaysia, dia melakukan 83 penampilan dan menjaringkan tiga gol serta melakukan tujuh bantuan jaringan.

Aksi cemerlangnya memastikan dia berjaya melakukan debut dalam Piala AFC yang menyaksikan Terengganu mengekalkan rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan namun tidak berjaya ke pusingan seterusnya hasil perbezaan jaringan dengan kelab Kemboja.

Azam juga berjaya membentuk bek berempat muda tempatan yang mendapat perhatian pemerhati dan penyokong bola sepak tempatan dan dilaporkan kini bernilai €250,000 (RM1.3juta).

Terengganu kini dalam rangka memperkasakan pasukan dengan melepaskan 12 pemain dari pasukan utama dan menandatangani Ismael Akhinade dari Kelantan United selain duo serangan Harimau Malaya, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid turut dikaitkan bakal ke Gong Badak.