SELEPAS pengendali Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid menyatakan rasa kurang senangnya dengan mutu pengadilan ketika aksi pasukannya menentang Selangor FC pada Sabtu, kini giliran ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner pula mempertikaikan keputusan si baju hitam.
Steinbruckner kurang berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil ketika perlawanan Liga Super menentang PDRM FC selepas pasukannya terikat tanpa jaringan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Dia berbuat demikian ketika sidang media selepas perlawanan kerana yakin Skuad Peteh sepatutnya diberikan penalti apabila Sony Norde dijatuhkan dalam kotak penalti ketika melakukan serangan.
“Secara peribadi, saya mahu TV menunjukkan sorotan percubaan yang dilakukan kerana kita dapat lihat mereka akan ulang sebanyak lima kali untuk gol tapi untuk situasi bahaya mereka tidak tunjuk.
“Saya mahu melihat ulang tayang situasi itu kerana bagi saya, ia adalah penalti dan jika itu bukan penalti, saya tak tahu nak cakap apa lagi,” katanya.
Dalam masa yang sama Tomislav turut mempersoalkan keputusan pengadil keempat yang hanya memberikan tambahan masa sebanyak tiga minit sahaja pada babak kedua.
“Anda rasa tiga minit sahaja. Kita boleh lihat kedua-dua pasukan melakukan tiga pertukaran pemain dan itu sahaja sudah tiga minit. Bagaimanapun pula dengan situasi yang mana perlawanan terpaksa dihentikan kerana fisio terpaksa masuk untuk merawat pemain? Saya rasa tambahan masa yang diberikan tidak cukup,” jelasnya dengan nada kecewa.
Ditanya adakah Terengganu FC akan membawa masuk beberapa lagi pemain baharu pada jendela perpindahan kedua, Tomi mengatakan bahawa dia mahukan lebih pemain tempatan untuk membantu pasukan menghadapi baki saingan liga dan Piala AFC.
“Saya tidak mahu seorang sahaja pemain baru tapi mahu beberapa pemain yang dapat bantu perkuatkan pasukan. Perbincangan sudah dilakukan tetapi pemain itu masih mempunyai kontrak bersama kelab mereka,” jelasnya.
Keputusan seri kedua berturut-turut melonjakkan Terengganu FC ke tangga keenam dengan 25 mata mengatasi Kuala Lumpur City FC dengan perbezaan jaringan selepas berakhir 17 perlawanan.