PENGADIL Perancis, Stéphanie Frappart bakal mengetuai buat kali pertama perlawanan yang bakal diadili semua pengadil wanita di Piala Dunia dalam perlawanan antara Costa Rica dan Jerman.

Frappart, yang menjadi wanita pertama mengadili perlawanan Piala Dunia akan dibantu oleh Neuza Back dari Brazil dan Karen Díaz Medina dari Mexico untuk perlawanan genting Kumpulan E pada Khamis selepas diumumkan FIFA pada Selasa.

Pengadil berusia 38 tahun itu akan menandakan satu lagi detik hebat dalam kariernya di Stadium Al-Bayt yang sebelum ini pernah mengadili perlawanan kelayakan Piala Dunia pada Mac, perlawanan Liga Juara-Juara UEFA pada 2020, final UEFA Super Cup 2019 serta beberapa perlawanan dalam Liga 1 Perancis.

 

Di Piala Dunia FIFA Qatar 2022 ini pula, Frappart muncul sebagai pengadil keempat ketika perlawanan Kumpulan C antara Mexico dan Poland yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Selain Stefanie, dua lagi pengadil wanita, Salima Mukansanga dari Rwanda dan Yamashita Yoshimi dari Jepun turut diletakkan dalam kumpulan pengadil FIFA untuk Piala Dunia kali ini. Selain Neuza Back dan Karen Diaz Medina, pengadil Amerika, Kathryn Nesbitt turut dipanggil sebagai pembantu pengadil.

Frappart sebelum kejohanan ini bermula telah berkata bahawa dia berharap kehadiran pengadil wanita di Qatar bakal membuka lebih peluang kepada semua pengadil wanita untuk beraksi di peringkat yang lebih besar dan ini adalah isyarat yang sangat baik daripada FIFA dalam kesaksamaan gender.