BEKAS penyerang Chelsea, Joe Cole menyifatkan perpindahan Raheem Sterling dari Manchester City ke Chelsea merupakan suatu pelaburan bisnes yang bijak.
Sterling melengkapkan perpindahan ke Chelsea dengan yuran sebanyak 50 juta Euro dengan menandatangani kontrak sehingga lima tahun bersama The Blues.
Sementara itu, Cole berpendapat kehadiran Sterling dalam kelab tersebut dapat membantu pemain muda Chelsea selain dapat menjadi seorang ketua atau pemimpin yang baik bersama The Blues.
“Chelsea telah mendapat seorang pemain terbaik England dengan kadar yang sangat berbaloi. Lebih manis lagi, dia berada pada prestasi terbaik. Ia suatu bisnes yang menguntungkan bagi Chelsea.
“Sterling sudah pasti membantu dalam bahagian serangan, dia seorang penjaring dan mampu membantu pemain muda. Mereka sangat muda, iaitu Kai Havertz, Mason Mount, Christian Pulisic.
“Dia mampu bertindak sebagai ketua pasukan. Mereka telah kehilangan Antonio Rudiger, jadi saya fikir Sterling adalah sangat penting dalam dan luar gelanggang, ” ujarnya kepada BBC Sports.