Select Page

STL 2024: Kelantan Warriors terpaksa kerja keras untuk layak ke final

STL 2024: Kelantan Warriors terpaksa kerja keras untuk layak ke final

KELANTAN Warriors dipaksa berkerja keras sebelum melayakkan diri ke perlawanan akhir Divisyen 1 Sepak Takraw League (STL) 2024 dan Liga Premier STL musim ini.

Pasukan takraw dari pantai timur itu menewaskan wakil tuan rumah, Melaka Titans 2-1 (12-15, 15-9, 15-13) dalam aksi separuh akhir kedua Divisyen 1 STL 2024 di Stadium Bukit Serindit pagi tadi.

Walaupun hampir tewas dalam set penentuan, Kelantan Warriors kembali memberikan aksi yang lebih kemas dari aspek pertahanan untuk terikat 13-13.

Kelantan Warriors yang dibarisi Purached Yoosaen (tekong), Adli Bakar (apit kiri) dan Haikal Jamil (apit kanan) berjaya mencuri dua mata terakhir untuk memastikan tiket final menjadi milik mereka dengan kemenangan 15-13.

Menurut pengurus pasukan Kelantan Warriors, Mahizi Mahmood berkata pemain-pemain Kelantan menunjukkan satu daya tahan yang tinggi untuk mengesahkan tiket perlawanan akhir malam ini.

“Pemain-pemain berjaya mengekalkan fokus ketika berhadapan tekanan daripada pasukan tuan rumah (Melaka Titans).

“Ternyata pengorbanan mereka berbaloi dengan melayakkan diri ke perlawanan akhir dan seterusnya ke Liga Premier STL.

“Air mata mereka menggambarkan betapa berat beban yang dipikul bagi merealisasikan impian rakyat Kelantan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Perlawanan akhir Divisyen 1 STL 2024 akan berlangsung malam ini

“Kita akan mengadakan perbincangan bagi mengambil pandangan daripada jurulatih dan pemain. Mungkin ada sedikit perubahan untuk perlawanan akhir malam ini daripada jurulatih memandangkan kita sudah bertemu Selangor Pistons di peringkat kumpulan sebelum ini,” tambahnya lagi.

Perlawanan akhir Divisyen 1 STL 2024 diantara Selangor Pistons dan Kelantan Warriors akan berlangsung jam 8 malam ini di Stadium Bukit Serindit, Melaka.