PASUKAN Kuala Lumpur Thunder terus mengukuhkan status mereka sebagai kuasa besar dalam Sepak Takraw League (STL) selepas berjaya menewaskan Perak Bison 2-0 dalam perlawanan akhir Grand Prix (GP) Penang 2024 di Spice Arena, Ahad malam.
Kemenangan ini menyaksikan Kuala Lumpur Thunder merangkul trofi grand prix buat kali keempat berturut-turut, memastikan dominasi mereka sepanjang STL berlangsung.
Pada perlawanan tersebut, Perak Bison yang turun dengan semangat membalas dendam selepas kekalahan di final GP Perak pada 13 Oktober lalu, memulakan set pertama dengan cemerlang.
Tekong Thailand, Kritsada Sungvung, menunjukkan ketajaman servisnya untuk membawa Perak mendahului pada awal perlawanan. Namun, Kuala Lumpur tidak mudah menyerah.
Mereka memasukkan Syahir Rosdi sebagai tekong pada pertengahan set pertama, yang ternyata memberi impak besar. KL Thunder akhirnya bangkit dan memenangi set pertama dengan keputusan 15-12 dalam pertarungan sengit selama 31 minit.
Memasuki set kedua, KL Thunder terus mengekalkan momentum. Redwan Hakim mempamerkan aksi cemerlang sebagai killer, dengan beberapa rejaman pantas yang gagal ditampan oleh Perak.
Syahir Rosdi pula konsisten dengan servis-servis tajam yang terus memberikan mata mudah kepada pasukannya. Perak Bison yang memasukkan Meor Zulfikar sebagai tekong bagi menggantikan Kritsada tidak mampu mengubah rentak permainan, walaupun mereka cuba bangkit dengan mata-mata penting pada pertengahan set.
Namun, ketenangan dan pengalaman KL Thunder jelas terbukti. Mereka menutup perlawanan dengan kemenangan 15-10 dalam set kedua, sekaligus mengekalkan rekod sempurna mereka musim ini.
Redwan Hakim, pemain muda yang menjadi tonggak utama pasukan, sekali lagi menjadi wira dengan rejaman gulung yang memastikan kemenangan KL Thunder.
Dengan kemenangan ini, Kuala Lumpur Thunder membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang sukar ditandingi dalam STL 2024.
Manakala, Perak Bison terpaksa berpuas hati sebagai naib juara buat kali kedua berturut-turut.
Selain itu, menyaksikan Negeri Sembilan Antlers berjaya menewaskan Terengganu Turtles 2-0.