PASUKAN PDRM Defenders melakukan kejutan apabila menumpaskan juara kumpulan D, Penang Black Panthers dalam saingan suku akhir Sepak Takraw League (STL) Premier 2024 bagi GP Selangor dengan keputusan 2-0 (15-7, 17-16).
Kemenangan PDRM Defenders menyaksikan mereka menjadi pasukan kedua mengesahkan tempat di separuh akhir selepas KL Thunder.
Gandingan Muhd Hisyammudin Mohd Nazri (tekong), Pharitat Kaewnunual (apit kiri) dan kapten pasukan, Muhd Shahalril Aiman (apit kanan) memacu kemenangan buat PDRM Defenders dalam set pertama dengan meninggalkan jurang lapan mata untuk mendahului 15-7 sebelum berehat seketika.
Skuad kendalian Ahmad Supian Napiah seakan mendapat suntikan semangat apabila berjaya melakar kebangkitan 12-10 untuk mengikat kedudukan, namun keampuhan yang dimiliki Defenders sukar digugat susulan membawa perlawanan ke tie break 16-16.
Kesilapan tekong Penang, Ikhwan Syafiq, memberikan mata kemenangan buat PDRM Defenders untuk mara ke separuh akhir yang akan berlangsung di Stadium Melawati esok.
Dalam satu lagi aksi suku akhir yang berlangsung petang tadi, Kuala Lumpur Thunder tidak berdepan masalah apabila berjaya menewaskan Terengganu Turtles 2-0 (15-8, 15-12).
Dua lagi aksi suku akhir akan berlangsung malam ini membabitkan pertemuan di antara Perak Bison lawan Kelantan Warriors dan Negeri Sembilan Antlers lawan Selangor Pistons.