PELUANG Perlis Vipers ke perlawanan akhir Divisyen 1 Sepak Takraw League (STL) 2024 jika mereka dapat mengurangkan kesilapan.

Pengurus pasukan Perlis Vipers, Shahrir Shafiae berkata, pasukannya mempunyai peluang jika mampu mengatasi masalah yang ada pada regu mereka, dalam waktu singkat sebelum menghadapi saingan separuh akhir pada Jumaat.

“Sebenarnya kita tiada banyak masa untuk melakukan apa-apa persiapan, kita cuma perlu memperkemaskan bahagian pertahanan kita. Kalau kita lihat dalam perlawanan suku akhir tadi (menentang PSM Mavericks), tekong mereka hanya menyerang di sebelah kanan jadi itu yang kami perlu perkemaskan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Pengurus pasukan Perlis Vipers, Shahrir Shafiae

Terdahulu, Perlis Vipers yang dibarisi oleh Shohibul, Syahmi dan Nazrul berjaya menumpaskan PSM Mavericks yang membariskan Adam Haikal, Fazaril Ikhmal dan Wazir Madi, 2-1 (13-15, 15-7, 15-12) dalam aksi suku akhir yang berlangsung sengit.

Menanti Perlis Vipers di separuh akhir, Selangor Pistons yang berjaya menewaskan Sabah Moutaineers 2-1 (15-3, 8-15, 15-9) dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

“Kita memang berpijak di bumi yang nyata, perlawanan separuh akhir esok membariskan dua barisan dari segi tahap ada sedikit perbezaan.

“Pasukan Perlis Vipers memang pakai pemain yang berpengalaman namun pasukan Selangor Pistons barisannya cukup lengkap. Jadi apa yang kita cuba buat ialah kurangkan kesilapan sebab peluang itu tetap ada. Siapa yang melakukan kesilapan yang kurang, dia akan berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir,” ujarnya lagi.

Satu lagi perlawanan separuh akhir bakal menemukan Kelantan Warriors dengan Melaka Titans.

Kelantan Warriors yang membariskan tekong, Purached Yodsen, Haikal Jamil (apit kanan) dan Adli Abu Bakar (apit kiri) tiada masalah mengatasi Mammoth Pahang 2-0.

Biarpun Mammoth Pahang turut menggunakan pemain import, Natthanam Monnbutr sebagai tekong, Alif Najmi (apit kanan) dan Asma Shifaa (apit kiri), mereka tidak mampu mengaatasi kehebatan wakil Kelantan yang menang 15-12, 15-7.

Sementara Melaka Titans melangkah ke separuh akhir selepas mengatasi Penjara Enforces 15-6, 15-11.

Melaka Titans membariskan Wirawut NaoNongkhai sebagai tekong, Khairul Zaman (apit kanan) dan Rizal Maamor (apit kiri), bukan tandingan Penjara Enforces yang membariskan  Faisol Jamil (tekong), Amar Putra (apit kanan) dan Muhaimin Othman (apit kiri).