PASUKAN sepak takraw dari Borneo, Sabah Mountaineers menjadi pasukan pertama dari Divisyen 1 Sepak Takraw League (STL) 2024 untuk menempah tiket ke suku akhir.
Ini selepas pasukan dari negeri di bawah bayu itu mudah menumpaskan Penjara Enforcers 2-0 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Bukit Serindit, Melaka semalam.
Sabah Mountaineers yang dibarisi Saufi Edul (tekong), Sobrie Samsudin (pengumpan) dan Jaxon Amputong (perejam) tidak berdepan masalah untuk membenam cabaran lawan 15-11, 15-7.
Terdahulu, Sabah Mountaineers juga berjaya menundukkan Putrajaya Cyborg 2-0 (15-10, 15-8) pada perlawanan pertama kelmarin.
Dua kemenangan yang dicatat oleh Mountaineers memastikan mereka muncul juara kumpulan C Divisyen 1 STL 2024 sekali gus layak ke suku akhir sebagai juara kumpulan.
Penjara Enforcers, dalam pada itu akan berdepan Putrajaya Cyborg dalam aksi terakhir hari ini bagi perebutan satu lagi tempat ke suku akhir.