AKSI Hari kedua STL Champion Cup 2024 yang berlangsung di Stadium Tertutup MPSJ Serdang Jaya memperlihatkan kekuatan dua pasukan gergasi, NS Antlers dan KL Thunder, dalam saingan Kumpulan A. 

Kedua-dua pasukan mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dengan mempamerkan aksi dominan dalam perlawanan kedua, di mana NS Antlers berjaya menundukkan MGPC Singapura 2-0 manakala KL Thunder mencatatkan kemenangan meyakinkan 2-0 ke atas Garuda Sepak Takraw.

NS Antlers, yang memilih untuk merehatkan pemain utama mereka, Hafizul Hayazi dan Muhammad Haziq, memberi ruang kepada pemain muda seperti Muhammad Ammar dan Khauirul Aman Rosdi untuk bersinar. 

Trio NS Antlers mempamerkan aksi dominan dalam perlawanan kedua.

Strategi ini ternyata membuahkan hasil apabila kedua-dua pemain baharu ini berjaya mengekalkan rentak pasukan dengan baik.

Perlawanan bermula dengan MGPC Singapura berusaha bangkit selepas kekalahan semalam kepada KL Thunder, namun aksi mantap NS Antlers dengan permainan seimbang membawa mereka mendahului 3-2 di awal set. 

Permainan menjadi semakin menarik apabila MGPC cuba memberikan tentangan sengit dengan pertukaran tekong utama, Danish Irfan, kepada Raziq Rosli. 

Namun, kegagalan servis MGPC membenarkan NS Antlers memperoleh beberapa mata mudah sehingga mencapai kedudukan 10-5. 

Dengan hadangan kemas Khauirul Aman pada saat genting, NS Antlers mencapai mata ke-14 dan seterusnya menamatkan set pertama dengan skor 15-8 dalam 14 minit.

Muhammad Ammar menggalas tugas Tekong utama NS Antlers, Muhammad Haziq dalam perlawanan menentang MGPC Singapore.

Set kedua pula menyaksikan NS Antlers melancarkan serangan lebih agresif. Mereka terus menguasai permainan dan mendahului 6-0 dengan Amar mempamerkan servis yang sukar dipatahkan oleh MGPC.

Walaupun MGPC mencuba pelbagai taktik, NS Antlers menutup set kedua dengan skor 15-5, membawa kemenangan keseluruhan 2-0.

Dalam perlawanan kedua yang tidak kurang menariknya, KL Thunder turun dengan strategi baharu, menampilkan pemain muda, Redwan Hakim, sebagai killer menggantikan pemain utama Azlan Alias. 

Syahir Rosdi dan Amirul Zazwan kekal di posisi tekong dan feeder, memberikan kestabilan kepada pasukan. 

Servis padu Syahir pada awal set pertama memberi KL Thunder permulaan yang baik, mendahului 3-0 apabila trio Garuda gagal menerima servis tajam tersebut. 

Dengan Redwan mempamerkan aksi yang bertenaga, KL Thunder terus menguasai permainan dan mendahului 7-1 sebelum Garuda mampu menambah mata. 

KL Thunder turun dengan strategi baharu, menampilkan pemain muda, Redwan Hakim, sebagai killer menggantikan pemain utama Azlan Alias. 

Namun, walaupun Garuda memperbaiki permainan dengan meningkatkan serangan, KL tetap mendahului dengan keselesaan 15-5 pada akhir set pertama selepas servis Garuda tersasar keluar.

Set kedua menyaksikan Azlan Alias kembali menggantikan Redwan untuk mengisi posisi killer. Walaupun Garuda cuba memberi cabaran dan berjaya mengikat kedudukan 2-2, libasan Azlan yang bertenaga kembali membuka jurang. 

KL terus meninggalkan Garuda dengan beberapa servis drop dari Zarif Merican yang sukar dibaca oleh pertahanan lawan. Permainan diakhiri dengan kemenangan KL Thunder 15-5 dalam set kedua dalam hanya 12 minit, sekali lagi membuktikan dominasi mereka.

Amirul Zazwan menjalankan tugas sebagai feeder dengan baik pada perlawanan menentang Garuda Sepak takraw.

Kemenangan berturut-turut bagi NS Antlers dan KL Thunder ini memperkukuhkan kedudukan mereka dalam Kumpulan A, dan selangkah untuk ke separuh akhir.

Esok (Jumaat) , KL Thunder dijadualkan berentap dengan NS antlers pada malam, sementara Garuda Sepak Takraw bakal menentang MGPC Singapura pada petangnya.