PASUKAN Negeri Sembilan Antlers melakar sejarah sekali lagi apabila berjaya mempertahankan gelaran juara STL Champions Cup 2024 selepas menumpaskan KL Thunder dalam perlawanan penuh dramatik di Stadium Tertutup MPSJ Serdang Jaya, Ahad malam.

 Kemenangan 2-0 ini tidak hanya memahat nama Negeri Sembilan sebagai kuasa besar sepak takraw, malah mengukuhkan reputasi mereka sebagai pasukan yang tidak mudah digugat.

Hafizul Hayazi antara watak yang cermelang dalam perlawanan final.

KL Thunder, yang memasuki final dengan keyakinan tinggi sebagai juara semua pusingan Grand Prix (GP) STL musim ini, menghadapi cabaran getir apabila bertemu NS Antlers, pasukan yang pernah menewaskan mereka dalam GP Terengganu di peringkat kumpulan. 

Walaupun membawa reputasi gah, KL Thunder terpaksa akur kepada kehebatan NS Antlers yang beraksi dengan penuh semangat dan taktikal yang mantap.

Set Pertama: Aksi Berbalas Serangan yang Mendebarkan

Kehadiran ribuan penyokong dari kedua-dua pasukan membangkitkan suasana meriah di stadium, memberikan tekanan tambahan kepada pemain di atas gelanggang.

 KL Thunder menurunkan gandingan muda mereka, termasuk killer berbakat Redwan Hakim, bersama tekong Syahir dan feeder Amirul Zazwan. NS Antlers pula mempertaruhkan trio berpengalaman Haziq Nizam sebagai tekong, Hafizul Hayazi sebagai killer, dan Zulefendi sebagai feeder.

Permianan tangkas Redwan Hakim antara yang memberi tumpuan dalam aksi final kali ini.

Permulaan permainan menyaksikan KL Thunder mendahului menerusi aksi tangkas Redwan Hakim yang melibas masuk mata pertama. Namun, kelemahan pada servis Syahir menjadi titik lemah yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh NS Antlers.

Hafizul Hayazi mempamerkan ketajaman rejaman yang sukar ditahan, membawa pasukan mendahului 3-2 pada awal permainan.

Pertembungan menjadi semakin sengit apabila kedua-dua pasukan saling berbalas mata. Namun, kelebihan pengalaman NS Antlers dalam kejohanan ini mula terserlah apabila mereka berjaya memintas KL Thunder untuk mendahului 10-5. 

KL Thunder memberikan saingan dan persembahan yang membanggakan dalam STL musin 2024.

Redwan Hakim terus menjadi senjata utama KL, tetapi kesilapan berturut-turut, termasuk servis Syahir yang kerap sangkut, memberikan peluang kepada NS Antlers untuk mengejar.

Mata ke mata berbalas sehingga kedudukan terikat 14-14, tetapi rejaman berbisa Hafizul dan kesilapan Amirul Zazwan tidak menyempurnakan bola terakhir memberikan kemenangan set pertama kepada NS Antlers dengan mata 17-15.

Set Kedua: NS Antlers Ungguli dengan Aksi Dominan

Memasuki set kedua, NS Antlers terus meningkatkan tekanan. Walaupun KL Thunder cuba bangkit dengan memasukkan Zarif Merican menggantikan Syahir, NS Antlers tetap menunjukkan kekuatan mereka. 

Servis drop dari Haziq Nizam dan libasan Hafizul sekali lagi menjadi pemecah benteng KL Thunder, membawa NS mendahului 8-5.

Namun, KL Thunder tidak menyerah begitu sahaja. Aksi cemerlang Zarif dan rejaman Azlan Alias membawa mereka kembali mengikat kedudukan 10-10. Tetapi NS Antlers, yang berada di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, terus menyerang dengan taktikal yang lebih berkesan.

Haziq Nizam dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan.

Tekanan mula menghantui KL Thunder apabila kesilapan-kesilapan kecil terus memberikan mata kepada NS Antlers. Hadangan Azlan Alias yang tersasar dan rejaman kemas Hafizul Hayazi melebarkan jurang mata, membawa NS ke mata kemenangan 14-10.

Servis terakhir Zarif Merican yang tersasar keluar menjadi penamat perlawanan, sekaligus mengesahkan kemenangan 15-10 buat NS Antlers dalam set kedua.

Manakala dalam perlawanan tempat ketiga dan keempat, Selangor Pistons menamatkan kempen mereka dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas finalist tahun lepas, Perak Bison. Walaupun Selangor tidak layak ke final, kemenangan ini memberi pengubat untuk mereka.

Final malam dimeriahkan dengan kehadiran penyokong KL Thunder dan NS Antlers yang sentiasa memberikan sorakkan tanpa henti pada pasukan mereka.

Syahir Rosdi dari KL Thunder diangkat sebagai Tekong Terbaik STL Champions Cup 2024, sementara gelaran Apit Kanan (Killer) Terbaik disandang oleh Noraizat Nordin dari Perak Bison.

Anugerah Apit Kiri (Feeder) Terbaik pula menjadi milik Zulefendi Sumari dari Negeri Sembilan Antlers. Ketiga-tiga pemain ini menerima pengiktirafan bersama hadiah wang tunai RM1,000 setiap seorang atas prestasi cemerlang mereka sepanjang kejohanan.

Pemain Negeri Sembilan, Haziq Nizam, mencuri perhatian dengan dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan, melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500.

Prestasi luar biasanya menjadi faktor utama kejayaan pasukan mempertahankan gelaran juara tahun ini.

Malam penuh aksi ini menjadi bukti bahawa sepak takraw Malaysia terus berkembang dengan persaingan sengit antara pasukan-pasukan terbaik.