PERLAWANAN pembukaan Kumpulan B Sepak takraw League (STL)  Champions Cup 2024 menyaksikan saingan hebat dua perlawanan di antara Perak Bison dan STFI India Fighters, diikuti dengan pertembungan sengit antara Selangor Pistons dan Royal Thai Airforce.

Perlawanan pertama, Perak Bison memulakan perlawanan dengan penuh semangat, mendominasi awal permainan dan memberi tekanan besar kepada STFI India Fighters.

Dengan gandingan Kritsada, Noraizat dan Aidil Aiman Perak Bison ternyata mempamerkan saingan luar biasa.

Perak Bison memulakan perlawanan langkah kanan dengan kemenangan.

Kesilapan kecil dari pihak STFI India Fighters memberi mata berharga kepada Perak Bison, yang juga memperolehi mata tambahan melalui libasan keras dari pemain mereka.

Set pertama menjadi milik Perak Bison dengan kemenangan bergaya, 15-6.

Pada set kedua, Perak Bison meneruskan dominasi dengan sekali lagi menguasai awal permainan, hampir meraih mata kemenangan.

Namun, STFI India Fighters, tidak mahu mengalah  terlalu awal, dan berjaya bangkit memberikan tekanan kepada Perak Bison.

Perak Bison memulakan perlawanan langkah kanan dengan kemenangan.

Walau bagaimanapun, Perak Bison terus konsisten dan akhirnya berjaya menamatkan set kedua dengan kemenangan 15-12, sekaligus memenangi perlawanan pembukaan mereka dengan kemenangan dua set.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan menyaksikan pasukan Selangor Pistons bertemu dengan Royal Thai Airforce dalam satu perlawanan yang sangat mendebarkan.

Selangor Pistons yang diwakili oleh Zuhri sebagai tekong, Khairol Zaman sebagai striker, dan Arif sebagai feeder, berhadapan dengan pemain Thailand, Nichakul (tekong), Pichet (killer), dan Wichan (feeder).

Thailand memulakan set pertama dengan pantas apabila killer mereka menunjukkan kemahiran luar biasa melalui sepakan gulung yang hebat.

Aksi antara Selangor Pistons dengan Royal Thai Airforce merupakan satu perlawanan yang sangat mendebarkan pada perlawanan hari pertama kejohanan.

Kedua-dua pasukan saling bertukar serangan, menjadikan kedudukan sangat rapat. Selangor sempat mendahului, namun kesilapan kecil oleh tekong Selangor memberikan Thailand peluang untuk menyamakan kedudukan.

Pada saat-saat genting, kedudukan terikat 9-9, pasukan Selangor membuat challenge kepada juri. Malangnya, challenge itu tidak memihak kepada mereka.

Perlawanan sengit yang berlangsung selama 30 minit akhirnya berpihak kepada Selangor dengan kemenangan tipis 17-16 pada set pertama.

Memasuki set kedua, Selangor Pistons memulakan perlawanan dengan agresif, memaksa Thailand membuat beberapa kesilapan yang memberi mata kepada Selangor.

Thailand cuba bangkit dengan membuat pertukaran pemain, membawa masuk killer mereka, Phutawan Sopa untuk memberi saingan. Namun, Selangor Pistons terus menekan dan mendahului 9-3.

Thailand cuba bangkit dari ketinggalan di set kedua.

Thailand yang berada dalam situasi terdesak, meminta challenge kepada juri, dan challenge tersebut memihak kepada mereka.

Walaupun begitu, Selangor tetap tenang dan killer mereka menamatkan set kedua dengan kemenangan 15-11 melalui sepakan gulung yang menakjubkan, menamatkan perlawanan dengan masa keseluruhan hampir 1 jam.

Kedua-dua pasukan dari Malaysia menunjukkan aksi yang membanggakan dalam perlawanan pembukaan ini, dengan Perak Bison dan Selangor Pistons masing-masing memperoleh kemenangan cemerlang dalam pertembungan pertama mereka di Kumpulan B.

Esok (Khamis) Selangor Pistons dijadualkan berentap dengan pasukan STFI India Fighters, manakala Perak Bison akan memberi saingan kepada pasukan Royal Thai Airforce.