PASUKAN KL Thunder menunjukkan dominasi mereka di gelanggang Sepak Takraw League (STL) apabila menewaskan Selangor Pistons dalam aksi separuh akhir GP Johor 2024 yang berlangsung di Larkin Indoor Arena, dengan keputusan 15-9, 15-9.

Kemenangan ini melayakkan KL Thunder ke pentas akhir GP buat kali kelima berturut-turut, sekali gus mengekalkan rekod cemerlang mereka dalam STL musim ini.

Zarif Merican, yang menggantikan Syahir Rosdi sebagai tekong utama, tampil cemerlang bersama gandingannya, Azlan Alias (killer) dan Amirul Zazwan (feeder). Dalam set pertama, servis deras Zarif berjaya menembusi pertahanan Selangor dan menghadiahkan mata penting buat KL, sekali gus meletakkan mereka di depan dengan skor 4-1.

KL Thunder mempamerkan kawalan yang kuat sepanjang perlawanan, sementara Selangor kelihatan bergelut untuk menyaingi rentak permainan juara bertahan itu.

Selangor Pistons, yang diperkuatkan oleh tekong muda Zuhri Zin, feeder Jefri Ahmad, dan killer Ariff Daniel, berusaha keras untuk bangkit namun tidak berjaya menggugat kedudukan KL Thunders.

Kombinasi serangan antara Zarif dan Azlan tampak mantap dan konsisten, sekaligus membawa KL Thunder kepada kemenangan set pertama dengan 15-9 dalam tempoh 21 minit, diakhiri dengan rejaman tajam Azlan.

Zarif Merican, yang menggantikan Syahir Rosdi sebagai tekong utama di separuh akhir.

Di set kedua, perlawanan bermula lebih sengit apabila kedua-dua pasukan bersaing rapat pada awal permainan. Selangor, melalui usaha Ariff Daniel dan servis konsisten Zuhri, berjaya mengejar mata sehingga kedudukan 5-4.

Namun, KL Thunder kembali bangkit, dan serangan balas Azlan disusuli dengan keputusan juri yang mengekalkan servis Zarif selepas bantahan Selangor, memperkukuhkan kedudukan dengan mata 13-9. Akhirnya, servis Zarif mengesahkan kemenangan KL Thunder dengan keputusan penuh 15-9 dalam set kedua, berlangsung selama 22 minit.

Dengan kemenangan ini, KL Thunder bakal menanti cabaran dari Perak Bison atau Negeri Sembilan Antlers di final yang dijadualkan  pukul 9.30 malam ini.