PASUKAN sepak takraw Kuala Lumpur Thunder mengesahkan tempat mereka di final STL GP Penang 2024 selepas menewaskan Negeri Sembilan Antlers dengan keputusan 2-0 di Spice Arena petang Ahad.
Kejayaan ini membawa KL Thunder bertemu Perak Bison yang telah menewaskan Terengganu Turtles 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Perlawanan yang berlangsung sengit menyaksikan KL Thunder menurunkan barisan terkuat dengan Azlan Alias sebagai killer, Syahir Rosdi sebagai tekong, dan Amirul Zazwan sebagai feeder. Pada set pertama, Negeri Sembilan tampil bersemangat, tetapi ketenangan dan kebijaksanaan KL Thunder membolehkan mereka mendahului 4-3.
Selepas semakan atas challenge yang dipinta, KL Thunder berjaya menyamakan kedudukan sebelum Azlan melakar rejaman kemas untuk mendahului 6-4.
Negeri Sembilan kelihatan tertekan dengan banyak melakukan kesilapan, menyaksikan KL Thunder mengambil kesempatan untuk mendapatkan mata dengan mudah.
Set pertama berakhir dengan KL Thunder mencatatkan kemenangan 15-6 selepas Negeri Sembilan gagal mengekang serangan lawan.
Memasuki set kedua, Negeri Sembilan menunjukkan semangat berjuang dan mendahului 2-0 menerusi rejaman cantik Haziq. Namun, KL Thunder tidak membiarkan mereka terus mendominasi, dengan Syahir mencuri mata penting untuk menyamakan kedudukan 8-8.
Persaingan menjadi semakin sengit apabila kedua-dua pasukan saling mencipta peluang, tetapi KL Thunder berjaya mengatasi tekanan dan mendahului dengan keputusan 13-12.
Keputusan dramatik tercipta apabila Azlan menunjukkan ketajaman rejamannya, memberikan mata match point kepada KL. Usaha Negeri Sembilan untuk bangkit tidak membuahkan hasil apabila rejaman killer Hafizul Hayazi disahkan keluar oleh juri, menyaksikan KL Thunder mara ke perlawanan akhir dengan keputusan set kedua 15-12.
Kejayaan ini merupakan pencapaian keempat berturut-turut untuk KL Thunder menjejakkan kaki ke final, membalas kekecewaan terhadap Negeri Sembilan selepas kekalahan di GP Terengganu bulan lalu.
KL Thunder akan menentang Perak Bison bagi merebut gelaran STL GP Penang malam ini, sementara Negeri Sembilan akan berdepan Terengganu Turtles bagi merebut tempat ketiga pada jam 8 malam.