AKSI cukup sengit antara PDRM Defenders dan Perak Bison dalam pertembungan separuh akhir Liga Sepak Takraw (STL) Premier GP Selangor, akhirnya meletakkan Perak Bison muncul sebagai finalis ke pentas akhir yang berlangsung malam ini.

Meskipun ketinggalan pada set pertama 10-15, dan ketika itu skuad dibarisi oleh Kritsada Sungvung (tekong), Noraizat Nordin (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri), semangat mereka tidak terus luntur dan kembali bangkit pada set kedua.

Tekong Perak Bison dari Thailand itu tampak tidak begitu yakin dengan servisnya dan sering melakukan kesilapan, membuatkan pertukaran tekong dilakukan dan diganti kepada Meor Mohamad Zulfakar.

Perubahan dapat dilihat selepas tekong pertama dikeluarkan, sekali gus meningkatkan aura sorakan daripada penyokong Perak Bison di Stadium Malawati, menyaksikan Perak Bison kembali merampas kedudukan set kedua dengan keputusan 15-5.

Barisan pemain kedua-dua pasukan untuk aksi semifinal.

Perlawanan terpaksa diheret ke set penentuan, menjadikan aksi antara kedua-dua pasukan lebih mendebarkan.

PDRM yang dibarisi Muhd Hisyamudin Nazri (tekong), Shahalril Aiman (apit kanan) dan Pharitat Kaewnunual (apit kiri) mula menerima tekanan apabila ketinggalan pada set kedua, dan juga set penentuan.

Mereka terpaksa akur akan kekalahan kepada pasukan Perak Bison, setelah keputusan 15-5 (2-1) keseluruhan berakhir pada aksi semifinal kedua, yang berlangsung pada petang Ahad.

Ini mengesahkan pasukan Perak Bison akan bertemu KL Thunder di final STL Premier GP 1 yang akan berlangsung jam 9:30 malam ini, manakala perlawanan penentuan tempat ketiga keempat (Selangor Pistons dan PDRM Defenders) akan bermula sebelum final, pada jam 8 malam.