KETUA Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan satu sebab mengenai hukuman keempat yang dikenakan kepada Selangor FC akibat tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih tempoh hari.

Menurut beliau, keempat-empat keputusan hukuman daripada segi denda, pampasan, penolakan mata dan tiada penonton pada perlawanan di gelanggang sendiri adalah pertimbangan oleh Ahli-Ahli Lembaga Pengarah MFL mengenai butiran-butiran di dalam kes berkenaan.

Mengenai hukuman beraksi tanpa penonton, MFL mengambil kira faktor daripada hasil komersial oleh pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila Selangor FC memutuskan untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih tersebut.

“Hukuman nombor empat telah dibuat berdasarkan hasil komersial pasukan JDT. Apabila perlawanan itu tidak dimainkan di Johor dan pampasan dibayar, namun tiada keuntungan yang diperoleh pasukan tersebut.

Stuart Ramalingam ditemui pada Rabu di Presint 5, Putrajaya.

“Pandangan bagi Ahli Lembaga Pengarah MFL, ‘reverse match‘ tidak seharusnya ada keuntungan bagi kedua-dua pasukan yang bertanding. Ini adalah melibatkan keadilan dan dari segi komersial.

“Sekiranya Selangor rasa tidak berpuas hati, maka mereka boleh mengemukakan rayuan bagi perkara tersebut,” ujar Stuart ketika ditemui di Majlis Pecah Tanah NTC, Putrajaya pada Rabu.

Maka, hal ini juga menyaksikan bahawa MFL membuka permohonan rayuan kepada pihak Selangor FC, dan perlu melalui beberapa prosedur yang telah ditetapkan.

Berhubung kenyataan Stuart, Selangor FC pada Selasa telah memuat naik satu kenyataan yang memaklumkan bahawa pihak mereka akan menilai saluran bersesuaian untuk tindakan selanjutnya, berikutan hukuman yang dikenakan oleh pihak MFL ke atas mereka.