PEMAIN berdarah Scotland-Malaysia, Stuart Wark tetap tidak melupakan peminat yang menyokongnya, dari Sarawak United FC hingga kini bermain di Kasetsart FC.
Selepas bermain dua tahun yang hebat dengan Sarawak United FC, Wark memilih berkelana ke Liga Thai 2.
“Saya berharap dapat membuat peminat Kasetsart FC bangga dan tidak melupakan peminat Malaysia, kerana saya mewakili Malaysia di Thailand.
“Walaupun kami mempunyai beberapa isu di luar padang, rakyat Sarawak, rakan sepasukan tetap cemerlang.
“Tetapi malangnya, semua perkara yang baik akan berakhir. Saya sangat teruja dengan Liga Thai 2 dan mahu bermain dengan baik di sini,” katanya dipetik dari portal SNE Sports Co.
Dia berkata demikian selepas aksi Kasetsart FC yang menewaskan Trat FC 2-1 menerusi gol pada saat akhir untuk meraih tiga mata.
Selain Sarawak United, Wark,33, juga pernah menyarung jersi Sabah, Felda United, Penang FC dan PDRM. Ketika bersama di Felda United, kariernya memuncak dan membantu pasukan itu meraih gelaran Liga Premier pada 2018.