PEMAIN tengah kebangsaan, Stuart Wilkin berbangga kerana khidmat dirinya masih diperlukan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon dalam panggilan ke skuad kebangsaan dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa.
Ini selepas dia dikekalkan dalam 29 senarai pemain yang mana kali ini turut dibarisi 12 pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk membentuk satu skuad yang mantap sebagai persediaan menghadapi Piala Asia.
Dia juga sentiasa memberikan aksi terbaik ketika latihan dan bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan untuk membantu skuad negara mencapai kemenangan keatas Hong Kong.
Stuart juga tidak berdepan masalah untuk menbentuk keserasian bersama-sama pemain yang baru menyertai skuad kebangsaan kerana kesemua pemain mempunyai kualiti dan mudah menyesuaikan diri dengan taktikal yang diberikan oleh jurulatih.
“Persiapan untuk perlawanan pada Selasa berjalan lancar dengan semua pemain memberikan sepenuhnya dalam latihan. Kini kami tidak sabar dan fokus untuk perlawanan ini serta akan turun dengan yakin untuk mencipta satu lagi kemenangan.
“Memang baik apabila dipanggil semula ke skuad kebangsaan kerana banyak pemain yang baik ada disini. Ini memberikan saya keyakinan apabila dipilih sekali lagi. Ianya juga satu kebanggaan dan saya hanya perlu berikan segalanya dan bersabar untuk peluang yang datang.
“Semua orang menyesuaikan diri dengan baik. Siapa yang dipanggil adalah yang terbaik dan mempunyai kualiti untuk pasukan. Ini menyebabkan tahap pasukan kebangsaan semakin meningkat dan kami tidak sabar untuk perlawanan seterusnya.
“Kami semua bersedia jika diberikan peluang untuk beraksi mewakili negara. Apa yang perlu dilakukan kini hanyalah bekerja keras dalam latihan dan bersedia untuk diberikan peluang,” katanya ketika ditemui media di hotel penginapan pasukan di Johor Bahru.
Stuart adalah antara tonggak utama yang membawa skuad Harimau Malaya ke peringkat separuh akhir Piala Mitsubishi Electric AFF Disember lalu dan kini mahu membuktikan dia sudah bersedia merebut kesebelasan skuad utama kebangsaan.