PEMAIN tengah prolifik negara, Stuart Wilkin mengakui kepada laman Fifa.com bahawa dia adalah seorang yang pemalu dan introvert ketika zaman kanak-kanaknya di England.

Pemain kacukan British Malaysia itu juga mendedahkan dia memulakan kariernya sebagai penjaga gol ekoran sifat malunya sehingga dia sentiasa diberikan peranan itu oleh jurulatihnya ketika itu.

Dia hanya bertukar peranan sebagai penyerang ketika berusia 10 hingga 12 tahun selepas ramai pemain meninggalkan kelab dan dia mula menunjukkan kebolehannya sebagai penjaring.

Dari seorang kanak-kanak pemalu kepada tonggak Harimau Malaya

Dia akhirnya mendapat perhatian akademi Southampton namun dilepaskan selepas tamat latihan sebagai pemain muda dan berhijrah ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran dan bermain bola sepak kolej di sana.

Bagaikan rezeki yang datang bergolek, dia telah dilamar oleh ejen untuk datang ke Malaysia dan menjadi pemain tempatan kerana mengikut keturunan ibunya yang berasal dari Bentong, Pahang.

Segalanya menjadi sejarah apabila Stuart kini adalah antara watak penting dalam skuad Harimau Malaya dengan kehadirannya di dalam pasukan menambah keseimbangan pasukan dan sering menjaringkan gol dari jarak jauh.

Stuart ketika sesi latihan di Muscat, Oman

Namun begitu apa yang menarik, sejak kehadirannya di Malaysia, dia bukan lagi bermain sebagai penyerang tetapi ditukarkan sekali lagi posisinya kepada ‘box to box midfielder’ dan itu sebenarnya adalah posisi terbaik buatnya.

Dalam temubual yang sama, Stuart turut gembira melihat Malaysia berpeluang untuk layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan dia mahu berikan segala-galanya buat Harimau Malaya kerana dia sedar kegilaan penyokong terhadap Piala Dunia.