PEMAIN tengah Harimau Malaya, Stuart Wilkin sedar skuad kebangsaan mampu untuk memberikan cabaran kepada Oman dan menjangkakan satu aksi yang lebih lengkap bakal ditunjukkan ketika aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil 26 Mac nanti.

Stuart menyatakan dia dan rakan sepasukan sudah memberikan segala yang mampu tetapi kecewa kerana dibolosi pada babak kedua dan terpaksa menerima kekalahan 0-2 dalam perlawanan di Kompleks Sukan Sultan Qaboos pada Khamis.

Dia juga mahu rakan-rakan sepasukannya tidak terlalu menghormati lawan kerana sedar mereka mampu bersaing dengan pasukan-pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi.

Stuart Wilkin yakin Malaysia mampu beri saingan pada Oman

“Sudah tentu rasa kecewa kerana kami melepaskan gol pada babak kedua tetapi kita akan pulang dan lihat semula permainan ini untuk cuba dapatkan tiga mata penuh di gelanggang sendiri.

“Semua pemain telah berikan apa yang mereka mampu dan kita juga tahu Oman adalah pasukan yang bagus dengan ranking yang lebih tinggi dan kita juga menghormati mereka.

“Tetapi kita perlu jangan terlalu hormat pada perlawanan selepas ini kerana jelas kita mampu bersaing dan hanya perlukan persembahan yang lengkap minggu depan di Bukit Jalil,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Aksi Wilkin semasa bertemu Oman

Pemain kacukan Inggeris Malaysia itu berkata meskipun tewas, mereka mendapat beberapa perkara positif dalam perlawanan ini dan akan memperbaiki segala kelemahan pada perlawanan akan datang di laman sendiri.

“Apa yang positif adalah kita sudah dapat belajar taktik mereka dengan apa yang sudah mereka lakukan. Kita akan cuba perbaiki kerana kita pernah lakukan perkara ini dan ianya akan menjadi satu perlawanan yang hebat kerana kami perlukan kemenangan,” jelasnya.

Kekalahan ini menyaksikan Malaysia jatuh ke tangga ketiga berkongsi enam mata bersama Oman dan Republik Krygyz namun dipisahkan menerusi perbezaan jaringan menjelang perlawanan keempat pada 26 Mac 2024.