SUASANA ceria penuh gelak ketawa dapat dilihat pada hari terakhir minggu ketiga sesi latihan rasmi skuad kebangsaan menjelang Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 yang bakal membuka tirai minggu hadapan.
Persediaan pasukan ini juga adalah sempena perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Maldives yang bakal berlangsung esok di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Kesemua 27 pemain menunjukkan kesungguhan di dalam latihan meskipun pada awalnya terdapat sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri seperti yang diperkatakan oleh Shamie Iszuan, Azam Azmi Murad, Sergio Aguero dan Mukhairi Ajmal dalam temubual bersama media sebelum ini.
Wajah-wajah baharu skuad kebangsaan ini juga perlu menggunakan peluang yang ada pada kejohanan ini untuk menunjukkan kemampuan mereka kepada barisan kejurulatihan untuk dipilih ke dalam skuad ke Piala Asia nanti.
Seperti yang diperkatakan oleh Kim Pan Gon ketika sesi sidang media pra perlawanan, dia dalam proses untuk mempersiapkan pemain negara untuk menghadapi Piala Asia yang digambarkannya sebagai momen yang sangat indah.
“Bayangkan kita akan bermain di stadium yang digunakan pada Piala Dunia dan ini adalah peluang terbaik bagi semua pemain untuk mempamerkan aksi terbaik kerana mereka berpeluang bertemu pemain dari Jepun, Korea Selatan, Iran, Arab Saudi dan Qatar yang semuanya bermain di Piala Dunia.
“Saya pernah berada di Piala Asia sebelum ini dan itu adalah antara momen yang indah dan saya mahukan para pemain merasai sendiri kehangatan beraksi di pentas tertinggi bola sepak Asia itu,” jelasnya.
Tinjauan FLASH SUKAN di Wisma FAM juga mendapati beberapa peralatan latihan seperti basikal gimnasium telah dibawa ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai persediaan perlawanan pada Selasa.
Ini adalah antara ciri-ciri utama yang diterapkan oleh Kim Pan Gon bagi memastikan setiap pemain memenuhi kehendaknya iaitu berlari seperti ‘anjing’ dengan intensiti yang tinggi dalam setiap perlawanan.
Selepas berakhir perlawanan dengan Maldives, lima pemain akan mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kebangsaan kerana hanya 23 pemain sahaja yang akan terpilih dalam senarai akhir.
Seperti yang dimaklumkan Pan Gon, keputusan ini adalah berdasarkan kesesuaian taktikal dan bukannya individu kerana ianya penting bagi memastikan DNA Malaysia dapat dikekalkan tanpa mengira siapa pun pemain yang diturunkan.
Malaysia mahu meneruskan momentum kemenangan selepas membelasah Kemboja 4-0 pada Jumaat sebelum cabaran Piala AFF sebenar bermula pada 21 Disember 2022 menentang Myanmar di Yangon.