SUASANA dalam bilik persalinan selepas perlawanan memang suram dan sedih.

Jelas pemain skuad Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba ketika ditemui pemberita di Stadium Jassim Bin Hamad.

Langkah Malaysia untuk kembali membuka laluan ke Pusingan 16 buat pertama kali dengan menamatkan sekurang-kurangnya keputusan seri, berkecai apabila kecundang gol tunggal saat akhir kepada Bahrain dalam pertemuan penuh rancak.

Ini kali kedua berturut-turut pasukan bola sepak negara tumbang selepas diaibkan Jordan 0-4 dalam saingan pembukaan Kumpulan E.

“Jujurnya, memang semua orang kecewalah dan tiada sesiapa yang gembira pun. Tapi yang bagusnya dalam pasukan ini, kami tetap kekal bersama-sama terutamanya dalam masa sukar.

“Perkara ini yang sebenarnya membuatkan kita lagi harmoni untuk bangkit balik bersama-sama semula,” ujar pemain Johor Darul Ta’zim itu.

Pertemuan berdepan Bahrain semalam di Piala Asia 2023 merupakan penampilan ke-33 buat anak kelahiran Pulau Pinang itu dalam pentas antarabangsa

Mengulas aksi pelengkap jadual menentang Korea Selatan, Syamer yang mengutip kad kuning tetap ingin bermain dan mempamerkan kebolehan yang ada membantu pasukan negara meraih keputusan positif.

“Saya anggap Piala Asia kali ini salah satu tempat untuk kita melakukan satu analisis, yang belum lagi buat dan kita belajar. Kami boleh tingkatkan lagi dan pandang ke hadapan.

“Kalau selagi diberi peluang lagi, saya memang nak bermain sebab saya memang selalu nak bermain. Jadi, saya harap saya akan hadir untuk lawan lawan Korea nanti,” katanya yang baru melangsungkan pernikahan pada bulan lepas sebelum tiba di Doha.