SESEORANG atlet harus bijak menangani tekanan, apatah lagi perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian.

Malah jika tiada desakan yang menjadi tekanan kepada seseorang atlet sepanjang latihan sekalipun, tekanan itu akan hadir ketika menyertai kejohanan terutamanya pada temasya sukan seperti Olimpik.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Manaiky berkata, jika dalam kehidupan seharian seseorang atlet itu tidak mampu membendung tekanan, apatah lagi apabila tiba di perkampungan sukan di Olimpik Paris nanti.

Berkongsi pengalaman beliau yang meraih pingat emas di Sukan Olimpik Atlanta, 1996, Rexy yang bergandingan dengan Ricky Subagja berkata, tekanan mula memuncak apabila pemain badminton negara memasuki perkampungan sukan pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadual bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Mungkinkah Pengarah Kejurulatihan, Rexy Mainaky gembira dengan perancangan pakar psikologi, Frederick  Tan.

Menurutnya, suasana di perkampungan sukan itu akan mewujudkan mood tidak menentu bagi sesetengah atlet, terutamanya ketika melihat kejayaan atlet lain yang sudah memenangi pingat.

“Kalau nak cerita mengenai tekanan, buat masa ini belum boleh dilihat (pada pemain badminton negara) kerana ia hanya akan nampak ketika berada di perkampungan sukan nanti. Saya pernah berada dalam situasi itu ketika diletakkan sasaran untuk mendapatkan emas.

“Untuk sukan badminton nanti, hanya akan bermula pada 27 atau 28 Julai, jadi dalam tempoh itu (ke final) pasti ada atlet yang sudah bertanding dan memenangi emas, sedangkan ketika itu kita baru sahaja bermula. Itu yang akan menjadi tekanan,” katanya.

Menurut Rexy yang juga bekas juara dunia, dalam situasi seperti itu ia bergantung kepada kekuatan psikologi pemain dan waktu itulah khidmat pakar psikologi ABM Frederick Tan diperlukan.

Daripada tiga beregu negara, hanya Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mempunyai pengalaman di pentas Sukan Olimpik.

“Frederick akan memainkan peranan yang cukup penting, dia akan membuat perancangan dari sekarang sampai ke Olimpik.

“Ia juga bergantung kepada hati dan komitmen pemain itu sendiri. Mereka seharusnya mempunyai hati yang besar kerana temasya ini empat tahun sekali bukan seperti kejohanan biasa,” katanya.

Rexy sambil berseloroh berkata, atlet lain yang sudah memenangi emas akan memakai kalungan pingat ke mana jua mereka pergi termasuk ke dewan makan untuk “menayang” pingat itu.

Tiga wakil negara di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) layak ke Olimpik Paris kali ini, diketuai  beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Malaysia turut mempunyai dua lagi wakil dari sukan badminton iaitu pemain perseorangan lelaki dan wanita profesional, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei.

Sandaran serta prospek utama Malaysia bagi memenangi pingat emas sukan badminton diletakkan di atas bahu Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik.