PELUANG skuad hoki negara beraksi di Sukan Olimpik akan datang, terutamanya tahun 2028, akan lebih sukar.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, ini berikutan proses kelayakan yang tidak memihak kepada hoki Asia yang diamalkan ketika ini, tidak bersifat muhibah yang mengutamakan semangat menyatupadukan dunia.
Sambil menafikan penggunaan sistem kelayakan itu sebagai alasan kegagalan skuad negara ke Paris 2024, Subahan berkata, beliau hanya mahu menyalurkan pandangannya yang kecewa dengan sistem yang diubah itu.
Jelasnya, jika dilihat untuk saingan di Paris, hanya satu wakil Asia layak iaitu India, selepas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) memutuskan hanya satu slot diberikan kepada setiap benua dan selebihnya, pasukan perlu melalui proses kelayakan.
“Sekarang untuk Asia, juara adalah India, sedangkan yang lain harus bersaing dengan 10 pasukan terbaik Eropah. Selepas Belanda layak, kita perlu berdepan Belgium, Jerman, England dan Sepanyol. Ia bukan mudah kerana kelayakan ini memang terhad,” katanya.
Ujarnya, setelah India menjadi satu-satunya wakil Asia, sekali gus menyaksikan Jepun, Pakistan, China dan Malaysia gagal melayakkan diri.
“Ini tidak bermakna kita sahaja yang silap (gagal layak) bagaimana pula negara Asia lain. Persekutuan Hoki Asia (AHF) harus bantu negara Asia dengan mendesak banyak peluang diberikan. Olimpik adalah untuk perpaduan, bukannya hanya membabitkan siapa menang. Jika 16 slot (16 negara bertanding) diberikan sudah tentu Malaysia ada peluang.
“Kalau Olimpik Los Angeles 2028 lagi susah, sebab slot automatik kepada tuan rumah, Amerika Syarikat (AS) sedangkan kuasa besar benua berkenaan ialah Argentina. Jadi caranya ialah kita akan cuba untuk melihat kembali proses sistem kelayakan. Kalau tidak memang satu ujian besar bukan hanya kepada Malaysia,” katanya.
Telahan Subahan itu ada benarnya, kerana selepas AS mendapat slot automatik sebagai tuan rumah, perebutan tempat menerusi slot kelayakan akan lebih getir dengan kehadiran Argentina di pusingan kelayakan akan datang.
Justeru, Subahan membuat perbandingan dengan Piala Dunia yang membabitkan 16 pasukan, menyaksikan Malaysia sering berjaya melayakkan diri dengan kali terakhir tahun lalu di Bhubaneswar, India.
“Jadi ini kerja saya bersama Datuk Majid Manjit Abdullah (Naib Presiden AHF) dan Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak (Ahli Lembaga Eksekutif AHF) membawa suara ini kepada AHF. Harap keluhan Malaysia mengenai wakil Asia ini didengari.
“Memang saya kecewa kita tak layak jadi bukan hendak beri alasan harapan kita dapat ke separuh akhir dan sekurang-kurangnya bersaing dengan New Zealand di pusingan kelayakan Olimpik Paris di Oman baru-baru ini,” katanya.
Hanya 12 pasukan beraksi di Olimpik Paris termasuk tuan rumah, Perancis, Belanda, India, Jerman, Great Britain, Sepanyol, Afrika Selatan, Belgium, Australia, Argentina, New Zealand dan Ireland.