KEJAYAAN pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi mengatasi rekod lama kebangsaan 100 meter (m) menerbitkan perasaan berbunga-bunga hati rakyat Malaysia dan peminat sukan tempatan.
Apatah lagi, catatan 10.09 saat (s) itu dirakamkan di peringkat antarabangsa semasa Kejohanan Dunia Bawah-20 di Cali, Colombia dan seterusnya layak ke separuh akhir.
FLASH SUKAN ketika menghubungi bapa Muhammad Azeem, Mohd Fahmi Tajuid di Bagan Datuk, Perak mengucapkan syukur melihat pencapaian anaknya yang memperbaharui rekod kejohanan di luar negara.
“Subhanallah.. Syukur Alhamdulillah. Terima kasih sentiasa menyokong dan mendoakan.
“Aamiinnn. Doakan bersama ye,” ujarnya pada Selasa.
Anak kelahiran Perak itu memadamkan rekod dipegang Khairul Hafiz Jantan sejak tahun 2016, 10.18s.
Terdahulu, atlet berusia 18 tahun yang mendapat jolokan ‘Usain Bolt Malaysia’ memperbaharui rekod peribadi dalam acara 100m dengan mencatat masa 10.28s pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perak 2022 yang berlangsung di Stadium Perak, pada Jun lepas.
Catatan itu memperbaharui rekod peribadi 100m berbanding 10.37s yang dicatat sebelum ini sewaktu menyertai Kejohanan Kuala Lumpur Allcomers pada 26 Mac lepas.