BEKAS pemain Petaling Jaya City FC , Subramaniam Sooryapparad menyeru Liga Bolasepak Malaysia (MFL) agar membuat penstrukturan semula terhadap penjadualan liga yang dilihat sangat padat, singkat dan menyebabkan pemain gagal memberikan segala-galanya di dalam padang.

Jelasnya, beberapa faktor perlu diambil kira seperti menyeragamkan jadual liga dengan mengawalkan liga untuk musim seterusnya serta menyediakan jadual lebih teratur dengan mengambil kira isu keletihan pemain dan kelangsungan perlawanan.

“Liga kita ini berehat terlampau lama. Selepas itu, liga kita dijadikan singkat.

“Sepatutnya sebelum mula liga, kita sudah melakukan persiapan dengan penjadualan. Kita punya liga ada masalah dengan penjadualan.

“Penjadualan liga perlu dibetulkan. Jangan bagi berehat sampai dua atau tiga bulan. MFL bila membuat liga perlu melihat misalannya JDT (Johor Darul Ta’zim) akan sangkut dengan Liga Juara-Juara Asia.

“Tidak perlu tunggu JDT sudah habis main playoff baru hendak mulakan liga di Malaysia. Kesinambungan itu tiada dalam penjadualan liga,” katanya kepada FLASH SUKAN ketika diminta mengulas isu penjadualan liga.

Subramaniam yang juga bekas pemain kebangsaan menilai pemain terlalu berehat lama semasa bulan Ramadan.

“Bila bulan puasa, kita berehat terlalu lama. Dekat Arab, mereka tidak berehat pun. Dia tetap sambung walaupun puasa. Kita harus menstruktur semula jadual. Kadangkala, dua minggu tiada perlawanan, tiba-tiba dalam seminggu ada banyak perlawanan.

“Contoh macam di Liga Perdana Inggeris (EPL),  mereka tidak banyak mengubah walaupun sudah 10 tahun menggunakan jadual yang sama.

“Walaupun Piala Dunia pada bulan Disember tahun ini, tetapi dia boleh mengawal jadual tanpa mengganggu penjadualan dan komitmen pemain,” ujar pemain kelahiran Sungai Siput, Perak itu.