CADANGAN menamakan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai Presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mengguris hati mana-mana pihak.

Timbalan Presiden BAM, Datuk V.Subramaniam berkata, cadangan yang dikemukakan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria itu, sebaliknya amat dialu-alukan.

“Tak adalah… (ketawa) kami mengalu-alukan cadangan daripada presiden.

“Suatu perkara yang baik buat BAM untuk mempunyai Tengku Zafrul sebagai presiden dan kebaikannya dalam banyak hal,” kata Subramaniam, apabila ditanya sama ada dua Timbalan Presiden BAM, beliau dan Dato Sri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos terkilan dengan peralihan tampuk kepimpinan tersebut.

Subramaniam menegaskan tidak ada rasa terkilan, sebaliknya mengalu-alukan kehadiran Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai presiden baharu BAM.

Sementara itu, Norza menegaskan bahawa cadangan beliau menamakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu, disokong 100 peratus ahli Majlis yang terdiri daripada wakil dari setiap negeri gabungan iaitu 15 orang.

“Pentadbiran saya sepatutnya berakhir 2025 namun saya telah maklumkan kepada ahli Majlis alasan untuk saya melepaskannya lebih awal, dan mengapa saya mahu mencadangkan nama pengganti.

“Ia menambil kira beberapa faktor utama dari segi pemegang taruh, KBS (Kementerian Belia dan Sukan), penaja seperti Petronas dan lain-lain, sebab itu peralihan ini tidak berlaku secara drastik dan prosesnya bermula sekarang.

“BAM tidak pernah ada krisis kepimpinan dan melaksanakan proses penggantian berhemah.

“Walau siapapun presiden, BAM berdiri bukan semata-mata kerana presiden kerana mempunyai kepimpinan profesional. Ahli Majlis, dua timbalan presiden, setiausaha agong, bendahari… semuanya orang lama,” kata Norza.