WAKIL beregu campuran Petaling Jaya Badminton Club (BC) , Chen Tang Jie mengakui kesempatan bergandingan dengan Lai Pei Jing merupakan suatu momen yang sangat bermakna buat dirinya.

Jelas Tang Jie, gandingan bersama seniornya, Pei Jing yang dilihat sangat konsisten di bahagian hadapan ketika bermain di jaring manakala dia hanya membantu melakukan smash di bahagian belakang.

“Saya rasa sangat selesa kerana rakan saya adalah Lai Pei Jing. Saya harap pada masa hadapan kita boleh dapat adakan lebih banyak liga.

“Pasukan kebangsaan yang independent pun diharap akan ada kejohanan sebegini pada masa hadapan.

“Saya rasakan tournament kali ini sangat kompetitif kerana ada pasangan dari negara lain.

“Saya rasa dia lebih garang. Jangan buat dia marahlah, dia punya tahap telah konsisten di depan. Dia kurang melakukan unforced errors, saya hanya menyerang dari belakang,” katanya ketika ditemui media selepas tamat perlawanan di Arena Of Stars, Genting Highland.

Sementara itu, Pei Jing berseloroh bahawa Tang Jie merindui dirinya kerana sudah lama tidak bergandingan di peringkat kompetitif.

Perbezaan ketara antara kejohanan di BWF dengan pertandingan Purple League adalah permainan akan menjadi lebih laju di Arena Of Stars manakala faktor masa juga dilihat bakal menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.

“Kita sudah lama tidak berlatih. Sudah lama tidak jumpa, dia rindu dekat saya.

“Purple League setiap mata penting. Kita boleh bermain secara laju. Yang penting dari diri sendiri,” ujarnya.

Terdahulu, gandingan tersebut berjaya mengetepikan cabaran kelab Bangkok Sena, Yap Qar Siong-Atiaya Puvanon 11-4, 11-6, 11-4 yang membawa Petaling BC ke perlawanan akhir.