NAIB juara Piala Malaysia, Terengganu FC (TFC) berharap teknologi video bantuan pengadil (VAR) dapat digunakan dalam kempen musim baharu Liga Malaysia (Liga M) 2024.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim, berkata, ini bagi memastikan mutu pengadilan bagi saingan liga tempatan dapat ditingkatkan.
Menurut beliau, pihaknya juga optimis Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semakin hampir untuk menjadikan VAR sebagai satu kenyataan.
“Kita faham penggunaan VAR tidak dapat terus dilaksanakan tetapi MFL dan MFL telah ambil langkah awal dengan pendedahan kepada pengadil tempatan melalui kursus serta latihan.
“Jadi PBSNT yakin bermula musim depan teknologi VAR sempat untuk diperkenalkan dalam Liga M sekaligus tidak timbul isu mutu pengadilan yang lemah,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan Kongres Tahunan PBSNT 2023 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini, semalam.
Tambah Hishamuddin lagi, gelanggang TFC iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin mampu menyediakan kemudahan VAR sekiranya teknologi berkenaan dapat dilaksanakan musim depan.
Menurut beliau, pihaknya berharap penggunaan teknologi VAR dalam masa terdekat dapat membatu pengadil membuat keputusan lebih tepat seterusnya mengatasi masalah mutu pengadilan.
“Berhubung kualiti pengadilan, sebagai kelab yang bertanding TFC hanya boleh menyuarakan pandangan jika tidak berpuas hati namun semuanya tertakluk kepada MFL dan FAM.
“Final Piala Malaysia contohnya, memang keputusan tidak akan berubah dan walaupun kita sudah hantar surat bantahan, FAM hanya memberi maklum balas menerusi kenyataan di media sosial.
“Sebelum ini VAR pernah dicadangkan untuk digunakan pada final Piala Malaysia namun tidak menjadi kenyataan dan kami harap ianya dilaksanakan pada saingan 2024,” ujarnya.