PENJAGA gol Terengganu FC, Suhaimi Hussin tidak menyangka prestasi yang ditunjukkan ketika di kelab membantu dirinya terpilih ke skuad kebangsaan untuk menghadapi Kejohanan Pestabola Merdeka yang akan berlangsung pada 13 hingga 17 Oktober 2023.

Suhaimi yang beraksi cemerlang di Liga Malaysia dan mendapat pujian jurulatih lawan di Piala AFC turut berterima kasih kepada pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner yang memberikan kepercayaan buatnya untuk beraksi sekaligus dipilih ke skuad kebangsaan.

Dia juga sudah bersedia untuk bersaing dengan dua lagi penjaga gol dan memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri.

“Syukur kerana pertama kali dapat panggilan ke skuad kebangsaan. Saya memang terkejut kali pertama dipanggil dan akan buktikan kemampuan saya. Terima kasih kepada Tomislav sebab bagi peluang saya bermain dan minit permainan itu penting hingga buat saya dapat panggilan ini.

“Semua tahu mental perlu kuat untuk berada dalam skuad kebangsaan dan saya sedia hadapi cabaran ini. Syihan dan Azri adalah penjaga gol yang baik dan professional dan saya akan rebut peluang yang diberikan.

“Pada awalnya gugup tetapi sekarang sudah serasi dengan rakan sepasukan selain sistem latihan yang sama di kelab buatkan saya cepat adaptasi dan jika diberi peluang beraksi saya akan gunakan pengalaman bermain di peringkat Asia bersama kelab untuk skuad kebangsaan,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Pemain berusia 29 tahun itu juga menyatakan sokongan daripada isteri dan keluarganya adalah inspirasi buat dirinya kerana mereka sentiasa menjadi pendorong buat dirinya untuk beraksi lebih baik.

Suhaimi bakal bersaing dengan Syihan Hazmi dan Azri Ghani untuk dua aksi di Pestabola Merdeka yang kembali diadakan selepas 10 tahun dan juga kembalinya Harimau Malaya ke kandang keramat, Stadium Nasional Bukit Jalil.