PENJAGA gol Terengganu FC, Suhaimi Hussin percaya akan kemampuan rakan-rakan sepasukannya terutama di barisan pertahanan walaupun dibarisi kesemua pemain tempatan yang masih muda kerana mereka membuktikan mereka boleh bermain dalam perlawanan yang berskala besar.
Terengganu mempertaruhkan empat bek muda tempatan yang cukup berkesan dan menjadi punca kebangkitan skuad Peteh yang kini dalam prestasi terbaik apabila merakamkan 13 perlawanan tanpa kalah sejak Jun lalu.
Suhaimi juga bersedia menyahut panggilan ke skuad kebangsaan sekiranya terpilih kerana jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner memuji persembahannya dan yakin Suhaimi sudah bersedia untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
“Kalau ada rezeki ke skuad kebangsaan, saya akan buktikan apa yang ‘coach’ cakap itu benar dan saya tidak boleh puas hati kerana banyak lagi yang perlu diperbaiki. Terpulang pada jurulatih sama ada saya atau penjaga gol lain terpilih dalam setiap perlawanan dan saya juga percaya kepada pertahanan kerana mereka buktikan mereka boleh main,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Suhaimi juga tidak mahu dia dibandingkan dengan penjaga gol lawannya di separuh akhir, Kevin Ray Mendoza kerana dia percaya masing-masing mempunyai kelebihan selain dia merasakan dia masih belum mencapai tahap kemuncak dengan pelbagai lagi perkara yang perlu diperbaiki.
“Saya tak boleh bandingkan dengan Kevin sebab dia juga ‘keeper’ yang bagus. Saya hanya perlu tunjukkan prestasi yang sebenar dan sejujurnya mungkin belum di kemuncak prestasi tetapi banyak lagi perlu diperbaiki,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Kekentalan Suhaimi di gawang dan dibantu bek berempat itu menyaksikan Terengganu FC berjaya layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia selepas mengenepikan Selangor dengan aggregat 3-1 meskipun diserang hebat sepanjang perlawanan.
Dia memberikan kredit kepada barisan pertahanan yang mendengar arahannya untuk kekal tenang dan tidak melakukan kesilapan dan fokus kepada tugasan masing-masing di dalam padang.
Kemenangan ini bakal menemukan Terengganu dengan Kuala Lumpur City dalam aksi separuh aksi yang sudah tentu menarik untuk merebut tempat ke final kejohanan paling berprestij Malaysia.