PENJAGA gol skuad kebangsaan, Suhaimi Husin sentiasa menyimpan hasrat untuk mencabar enggan posisi benteng terakhir itu meskipun sedar saingan sengit yang ditampilkan penjaga gol yang lain.

Dia yang kembali dipanggil ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bagaimanapun hanya akan mengikuti arahan jurulatih dan bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa.

“Keinginan itu pasti ada untuk menjadi penjaga gol nombor satu negara tetapi segalanya terletak kepada jurulatih dan jika dia bagi peluang, saya kena bagi yang terbaik dan jika tidak dipilih juga saya perlu bersedia ” katanya ketika ditemui pada hari kedua kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Suhaimi ketika sesi latihan

Daripada 23 orang pemain yang menyertai sesi latihan, Suhaimi adalah penjaga gol paling senior namun dia tidak melihat perkara itu sebagai kelebihan buatnya sebaliknya menganggap dia masih pemain baharu dalam skuad kendalian Kim Pan-gon ini.

Suhaimi juga satu-satunya penjaga gol yang sudah memulakan latihan bersama kelab Terengganu FC sejak sebulan lalu dan dia merasakan sudah mempunyai kecergasan lebih 50 peratus dan kem latihan ini akan membantu dirinya kembali ke tahap kecergasan sepenuhnya.

“Saya tidak menganggap diri saya sebagai pemain senior kerana saya juga masih baru dalam skuad kebangsaan dan masih banyak perlu saya pelajari kerana kesemua penjaga gol ini mempunyai kelebihan masing-masing,” jelasnya.

Selain Suhaimi, tiga penjaga gol lain yang dipanggil untuk kem latihan Harimau Malaya kali ini ialah Syihan Hazmi, Sikh Izhan Nazrel dan Azri Ghani dengan Syihan hanya akan menyertai kem latihan pada 15 Mac sebelum pasukan terbang ke Oman pada 17 Mac 2024.