TIMBALAN Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias dilantik Pesuruhjaya Sukan (PJS) yang baharu berkuat kuasa hari ini dengan kontrak selama dua tahun.

Perkembangan itu diumumkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia di Facebooknya hari ini bagi menggantikan penyandang, Ibrahim Mohd Yusof yang dinaikkan pangkat pada 23 Jun yang lalu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri YB Hannah Yeoh dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) diatas kepercayaan bagi menggalas tugas sebagai PJS.

“Saya rasa ini tanggung jawab yang besar perlu dipikul untuk memastikan kita dapat memperkasakan Persatuan Sukan Kebangsaan dan juga Persatuan di peringkat negeri dan daerah,” katanya.

Menurutnya, fokus utama perlu diberi perhatian sebagai PJS adalah melihat aspek tadbir urus yang baik di semua peringkat.

Dalam pada itu Suhardi berkata, meskipun tugas sebagai PJS berbeza berbanding apa yang digalas sebelum ini, beliau yakin mampu melakukannya dengan baik memandang pemegang taruhnya hampir sama.

Justeru beliau berharap mengharapkan kerjasama daripada semua pihak termasuklah persatuan sukan dalam memastikan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dalam menjalankan kerja dengan efektif sekali gus mampu menyimbang kepada kemajuan sukan negara.

Untuk rekod, Suhardi mula berkhidmat di MSN pada 1hb April 1991 merupakan  pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kepujian (Dietetics) dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta Diploma in Advance Sports Management (Persijilan IOC) dan berpengalaman selama 32 tahun dalam bidang pengurusan dan sains sukan.

Beliau menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Sukan) dan juga Ahli Jawatankuasa Penarafan Persatuan Sukan Kebangsaan bersama Majlis Olimpik Malaysia pada tahun 2009.

Selain itu, beliau bertanggungjawab sebagai pengerusi dan pelopor Kursus Pengurusan Sukan Kebangsaan serta penggubal dan tenaga pengajar Kursus Sains Sukan Kebangsaan dan juga terlibat di dalam penyediaan “Road Map” Industri Sukan Negara. Beliau juga terlibat di dalam penyediaan Visi Sukan Negara 2030.