PENYEBARAN rakaman audio mesyuarat tertutup antara Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias bersama Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), tidak disangka mencetuskan kontroversi sehingga membuatkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melenting, selepas dikaitkan dengan perkataan Israel dan juga terkesan dengan sebaris ayat “mahu membatalkan pendaftaran MOM”.

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias berkata, perjumpaan tertutup yang diadakan pada 14 November lalu bertujuan mencari jalan pendamaian antara dua pertubuhan, MEGA dan MESF, namun dipercayai diambil kesempatan pihak tertentu yang menyebarkan keratan rakaman audio mesyuarat terbabit.

Pesuruhjaya Sukan, Suhardi Alias jelaskan, ada pihak cuba mengeruhkan keadaan.

“MESF adalah badan yang sah berdaftar dengan PJS manakala MEGA pula berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Disebabkan itu kita bagi masa kepada MEGA untuk berbincang agar mereka boleh menjadi ahli bersekutu MESF.

“Cuma saya rasa agak  terkejut dan kesal dengan apa yg berlaku, salah faham diperingkat MOM, di mana mesyuarat penyelarasan sukan e-sukan untuk meredakan kemelut antara persatuan sukan.

“Selepas kita melihat bahawa wujud penyebaran audio mesyuarat yang diadakan untuk menjernihkan keadaan itu, PJS berhasrat untuk melaporkan perkara ini, khasnya mengenai kebocoran data di bawah akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Saya merasakan menjadi satu kesalahan menyebarkan audio perbincangan untuk tatapan umum bagi membangkitkan keresahan warga sukan dan kita akan serahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan mereka,” katanya, yang ditemui di pejabatnya.

Kenyataan media daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Beliau berkata, hanya sebahagian rakaman audio disebarkan pihak yang tidak bertanggungjawab itu, menunjukkan ada niat tersembunyi di sebaliknya.

Justeru, pegawai PJS sudah membuat laporan polis mengenainya di Balai Polis Sri Petaling, petang tadi.

Batal pendaftaran, disamakan dengan Israel… MOM minta penjelasan PJS

Beliau enggan mengulas lanjut isu terbabit, kerana tidak mahu menimbulkan salah faham baharu dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mencari penyebar rakaman audio tanpa izin sehingga menimbulkan fitnah terhadapnya.

Terdahulu, MOM membidas PJS, Suhardi Alias kerana mengeluarkan kata-kata ugutan sehingga ingin membatalkan pendaftaran mereka dan menyamakan badan payung sukan negara itu dengan kerajaan Israel dalam konflik di Gaza, sekali gus mencemar reputasi badan itu.