SKUAD ragbi tujuh sebelah (7s) kebangsaan mengharapkan undian memihak kepada pasukan negara, bagi meringankan sedikit beban sasaran muncul empat terbaik di temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, September depan.
Ketua jurulatih 7s kebangsaan, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, sasaran yang ditetapkan Kesatuan Ragbi Malaysia (MR) agak berat namun beliau perlu memikul tanggungjawab itu dengan sebaiknya.
“Kita akan buat yang terbaik untuk capai target. Kalau ikutkan, pasukan gergasi sekarang ialah Jepun, Hong Kong, Korea Selatan dan China. Ini pasukan gergasi yang perlu kita awasi dan saya berharap proses undian akan berpihak kepada kita.
“Kalau diberikan pilihan, saya harap kita berada satu kumpulan dengan Korea atau China, sebab pemain mereka fizikal besar namun, kita ada kelajuan. Untuk mana-mana pasukan, kelajuan sangat penting dalam ragbi 7 sebelah,” katanya, ketika lawatan Ketua Kontinjen ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt, di gimnasium Institut Sukan Negara (ISN).
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa perlawanan ujian sedang diusahakan sebagai pendedahan dan persediaan skuad negara ke temasya itu.
“Jika diikutkan, kita memang bermula lambat namun, kita akan cuba buat yang terbaik untuk pasukan kali ini. Dalam soal perancangan latihan, saya sudah kenal pasti beberapa aspek yang perlu diperbaiki termasuk aspek pertahanan dan kedudukan pemain.
Mengulas lanjut, Nik Safuan berkata, skuad Bunga Raya 7s ketika ini sedang menunggu sama ada mereka layak atau tidak untuk menyertai 7s Asian Series yang akan berlangsung pada 26 hingga 27 Ogos ini di Incheon, Korea Selatan.
“Kita masih menunggu sama ada kita layak atau tidak, sekiranya tidak layak ke Asian Series, kita akan aturkan perlawanan ujian sama ada dengan Thailand atau Taiwan pada hujung bulan ini untuk melihat sejauh mana pasukan 7s negara.
“Ragby Asia yang akan tetapkan pasukan mana layak ke Asian Series, sekarang Sri Lanka dalam tempoh pegantungan. Jadi, kita harap ada tempat untuk kita. Jadi, apa-apa pun kita tunggu keputusan yang dijangka akan dibuat selepas 10 Ogos nanti,” katanya.
Selain itu katanya, sekiranya skuad negara tidak layak beraksi di Asian Series dan perlawanan ujian juga tidak dapat direalisasikan, antara pilihan lain yang ada ialah mengatur satu lagi aksi persahabatan dengan Singapura di Kuala Lumpur.
Dalam hal berkaitan, Nik Safuan memberitahu beliau belum memuktamadkan senarai 13 pemain akan menggalas cabaran ke Sukan Asia.
“Sekarang kita ada 16 pemain dan saya masih dalam proses pemilihan dan masih belum memutuskan senarai akhir. Insyaallah, selepas hujung bulan ini akan ada senarai nama 13 pemain yang akan menggalas cabaran negara di Sukan Asia,” katanya.