BIARPUN sasaran pingat di temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 belum dimuktamadkan, jurulatih karate negara, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy meletakkan sasaran peribadi, mahukan karateka di bawahnya membawa pulang pingat emas.

Jurulatih dari Mesir mengendalikan skuad karate kumite kebangsaan pada Februari tahun ini, menegaskan sudah tiba masanya buat atlet negara menunjukkan peningkatan prestasi terutama selepas Kejohanan Karate Asia ke-19 yang berlangsung pada bulan lalu.

Katanya, tiga pingat gangsa yang diraih atlet Malaysia sedikit sebanyak meningkatkan keyakinan mereka untuk menghadapi Sukan Asia Hangzhou nanti.

Skuad karate negara mendengar taklimat daripada Ketua Kontinjen ke Sukan Asia Hangzhou 2022, Datuk Chong Kim Fatt.-Pix MSN

Bagi memastikan impiannya menjadi kenyataan, Tamer memberitahu sudah merancang membawa atlet karate negara menjalani latihan di luar negara, selain sudah mengatur membawa karateka Mesir ke sini sebagai persediaan terakhir sebelum bertolak ke Hangzhou.

“Berkenaan sasaran di Sukan Asia, saya tidak mampu meramalkan masa depan. Saya seorang jurulatih profesional dan saya datang ke sini bukan untuk berhibur. Saya tidak mahu berjanji, tapi apa yang boleh saya katakan setiap atlet sangat bekerja keras siang dan malam.

“Tetapi sasaran peribadi saya adalah pingat emas sudah tentu dan saya tidak boleh fikir soal sasaran pingat gangsa. Jika saya fikir ke arah itu, pasti saya akan kalah, katanya, ditemui ketika ketua kontinjen (CDM) ke Sukan Asia, Datuk Chong Kim Fatt membuat lawatan di gelanggang latihan karate kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN).

Karateka negara menjalani latihan intensif menjelang temasya Sukan Asia Hangzhou 2022.-Pix MSN

Dalam pada itu, Tamer menegaskan bahawa misi besarnya melatih skuad negara adalah mahu melahirkan juara dunia pada Kejohanan Dunia Karate di Budapest bermula 24 sehingga 29 Oktober depan.

“Untuk sekarang, fokus saya adalah Sukan Asia dan kemudian Kejohanan Dunia. Saya rasa negara anda melantik saya adalah untuk memastikan Malaysia memenangi pingat emas di Kejohanan Dunia dan kami akan bekerja keras ke arah itu,” ujarnya.

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad sebelum ini menyatakan badan induk itu meletakkan sasaran satu emas pada temasya di Hangzhou.