MENAMATKAN kempen Trofi Juara-Juara Asia 2023 sebagai naib juara memberi isyarat jelas kepada A Arulselvaraj betapa, India adalah halangan utama yang perlu diatasi, sekiranya skuadnya bercita-cita meraih pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022, sekali gus layak secara merit ke Olimpik Paris.

Statistik tidak pernah berbohong dan itulah hakikat yang perlu diakui sebagai landasan meningkatkan kekuatan Malaysian Tigers, apabila daripada tujuh perlawanan diharungi, skuad negara menang lima dan tewas dua kali.

Skuad negara menampilkan aksi berbeza di final Trofi Juara-Juara Asia, mengejutkan India dengan mendahului 3-1, sebelum akur dengan kehebatan pasukan keempat dunia itu. -Pix AHF/Hockey India

“Daripada tujuh perlawanan kita menang lima dan dua tewas, kedua-duanya di tangan India.

“Banyak yang pemain lakukan dengan bagus namun kita perlu berusaha belajar untuk membuat keputusan di saat genting, ketika berada di bawah tekanan.

“Kita dapat lihat India yang berada di ranking keempat dunia, mereka tahu bila nak membuat keputusan kerana sentiasa menentang pasukan yang mengamalkan corak permainan berintensiti tinggi seperti Belgium dan Belanda.

“Kita juga harus selalu menentang pasukan seperti itu dan belajar mengurangkan kesilapan,” kata Arul.

Keberanian ketua jurulatih, A Arulselvaraj menggunakan khidmat pemain muda untuk meningkatkan kelajuan dan ketahanan pasukan, satu keputusan tepat. -Pix AHF/Hockey India

Pada final, skuad negara menampilkan permainan berbeza ketika menentang India di peringkat round robin, apabila menggunakan pendekatan high pressing, sehingga berjaya mendahului 3-1 sebelum tewas 4-3.

“Kunci utama kekalahan ini pastinya dua gol pantas India ketika mengikat kedudukan 3-3.

“Kekalahan ini memang susah untuk diterima tetapi kita perlu ambilnya dengan tabah untuk mempelajari sesuatu.

“Motif utama saya letakkan dalam kejohanan ini adalah mengelakkan kecederaan pemain dan kita melakukannya dengan bagus,” katanya.

Perlawanan akhir Trofi Juara-Juara Asia 2023, menjadi bukti bahawa Malaysian Tigers ada potensi merangkul pingat emas Sukan Asia Hangzhou. -Pix AHF/Hockey India

Aksi di Chennai itu menyaksikan Malaysian Tigers bukan hanya mencatat pencapaian baharu mara ke final kali pertama Trofi Juara-Juara Asia, malah ranking pasukan negara melonjak satu anak tangga, ke kedudukan 10 dunia, memintas Korea.

Justeru, Arul yakin pencapaian itu mampu menjadi perangsang kepada pasukan sebelum ke China untuk menghadapi saingan Sukan Asia pada 23 September hingga 8 Oktober.

Tambah beliau, kejohanan itu juga menunjukkan keputusan mendapatkan khidmat dua bekas bintang Australia, Kieren Govers dan Glen Turner, satu keputusan tepat, berdasarkan kemampuan pemain negara menjaringkan 21 gol sepanjang kejohanan.

Keputusan muncul naib juara Trofi Juara-Juara Asia 2023, perlu dinikmati pemain dengan bangga. -Pix AHF/Hockey India

“Kita memiliki beberapa pemain mampu menjaringkan gol padang dan juga sudut penalti dan ini satu kemajuan selepas mendapatkan khidmat Kieren Govers dan Glen Turner, membuahkan hasil.

“Mereka akan datang lagi membantu kita dan saya harap dapat meningkatkan circle penetration dan circle entry untuk menghasilkan keputusan lebih (Sukan Asia),” kata Arul.

Meskipun India begitu tajam di hadapan gawang dengan 29 jaringan, kemampuan empat pemain negara, Firhan Ashari, Azrai Aizad Abu Kamal, Najmi Farizal Jazlan dan Shello Silverius meledak empat gol di kejohanan ini satu perkembangan luar biasa.

Keputusan ketua jurulatih hoki lelaki kebangsaan, A Arulselvaraj menggunakan khidmat dua pakar jaringan Australia, Kieran Govers (kiri) dan Glenn Turner (tengah) menampakkan hasil dan perlu diteruskan.

Untuk rekod, Trofi Juara-Juara Asia diperkenalkan pada 2011 dan skuad negara lima kali muncul pemenang tempat ketiga pada 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018, justeru pencapaian ke final kali ini satu kemajuan yang baik.

Petang ini, skuad bimbingan Arul akan segera pulang dari India, bagi melakukan persiapan rapi menjelang temasya sebenua, Sukan Asia.

Di Sukan Asia, pasukan lelaki negara di letakkan dalam kumpulan B, bersama Korea, Indonesia, Oman, China, Thailand, manakala kumpulan A membabitkan India, Pakistan, Jepun, Bangladesh, Singapura dan Uzbekistan.

Skuad negara akan membuka tirai saingan pada 24 September menentang Thailand.