MISI emas Sukan Asia Hangzhou 2022, bagai menyebelahi skuad hoki lelaki negara apabila mendapat undian peringkat kumpulan yang boleh dianggap menyebelahi Malaysian Tigers.

Anak buah A Arulselvaraj diundi dalam Kumpulan B dengan pencabar utama adalah Korea Selatan yang mana kedua-dua pasukan diletakkan sebagai pilihan bagi menjuarai saingan kumpulan.

Selain Korea, Malaysia juga diundi satu kumpulan dengan China, Indonesia dan Oman.

“Seperti dijangka kita akan berada di dalam Kumpulan B bersama Korea, China dan lain lain. Ia ditentukan oleh kedudukan di ranking Dunia.

“Kita akan ambil pendekatan fokus satu demi satu perlawanan. Sasaran awal adalah untuk berada di dua tangga teratas kumpulan untuk layak ke separuh akhir.

“Kalau kita tengok, cabaran utama kita adalah Korea dan China. Manakala Thailand, Oman dan Indonesia boleh menjadi pengacau kepada Malaysia, Korea dan China,” kata pengurus skuad kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi.

Dato Mirnawan Nawawi (dua dari kanan) sudah menjangka pasukan lelaki negara akan berada satu kumpulan dengan Korea Selatan.

Begitupun katanya, tumpuan ketika ini terarah kepada saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 di Chennai, India, sebelum membuat perancangan fasa akhir ke Sukan Asia.

Dalam pada itu, Mirnawan berkata, pasukan seperti Oman, Thailand dan Indonesia yang kedudukan rankingnya jauh di belakang, perlawanan menentang tiga pasukan ini tetap dipandang sebagai satu ancaman.

Undian hoki lelaki di Sukan Asia Hangzhou 2022, menyaksikan Malaysian Tigers berjaya mengelak satu kumpulan dengan India.

Sementara itu, India yang berada di kedudukan ranking keempat dunia diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Jepun, Pakistan, Bangladesh, Singapura dan Uzbekistan.

Saingan kumpulan A lelaki membabitkan pilihan utama, India, Pakistan, Jepun, Bangladesh, Singapura dan Pakistan.

Saingan wanita pula menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama naib juara 2018, India, Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura.

Kumpulan B pula membariskan juara bertahan, Jepun, China, Thailand, Kazakhstan dan Indonesia.

Skuad lelaki negara memburu pingat emas Sukan Asia sekali gus mendapat slot automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.