KETUA jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun enggan membicarakan mengenai peluang memenangi pingat emas di Sukan Asia Hangzhou, September nanti, selepas undian dikeluarkan penganjur semalam menyaksikan undian memihak kepada negara.
Sebaliknya, beliau mahu fokus kepada satu-satu perlawanan di peringkat kumpulan terlebih dahulu.
“Daripada undian itu, bagi kami lebih penting adalah fokus kepada perlawanan dalam kumpulan kerana kalau dilihat undian, tak banyak bezapun (undian kejohanan lain).
“Paling penting kita melepasi saingan peringkat kumpulan dahulu kerana persaingan di peringkat Sukan Asia lebih besar daripada kejohanan-kejohanan sebelum ini,” kata Ahmad Jais.
Biarpun pernah menumpaskan Indonesia dan Korea Selatan di Piala Raja Thai baru-baru ini, skuad sepak takraw negara tidak boleh berasa selesa selepas diundi sekali lagi bersama kedua-dua negara berkenaan bagi acara berpasukan di Hangzhou, 23 September hingga 8 Ogos depan.
ARTIKEL BERKAITAN: Undian sepak takraw di Sukan Asia tak boleh pandang mudah
“Sebenarnya undian acara berpasukan di Sukan Asia agak mencabar buat pasukan kebangsaan kerana berada dalam kumpulan bersama Indonesia dan Korea Selatan,” katanya.
Ahmad Jais yang pernah membantu skuad negara meraih emas di Sukan Asia Hiroshima 1994 berkata, kita tidak boleh membuat jangkaan bahawa aksi Kumpulan B di Piala Raja Thai lalu, akan mengulangi skrip yang sama.
“Ia bukan petanda kita boleh selesa untuk mengalahkan mereka di peringkat kumpulan Sukan Asia. Kita percaya semua pasukan bertanding di temasya berkenaan akan memberikan satu prestasi lebih baik berbanding sebelum ini dan mereka sudah tentu membuat persiapan rapi
“Begitu juga pasukan kita, apa lebih penting bagi saya adalah mempersiapkan pasukan dengan meningkatkan prestasi pemain dan setiap pasukan dalam regu masing-masing,” kata Ahmad Jais.
Pada majlis undian semalam, Malaysia turut diundi dalam Kumpulan A bagi acara regu bersama-sama pemenang pingat gangsa edisi lalu, Singapura dan Myanmar.
Manakala Thailand pula berada dalam Kumpulan B bersama-sama Filipina, India dan Myanmar.
Pada edisi lalu yang berlangsung di Palembang-Jakarta, skuad sepak takraw negara membawa pulang satu pingat emas dalam acara regu lelaki dan satu perak dalam kategori regu berpasukan.